suria

Bergambar dengan anjing, Siti Khadijah mahu sebar kesedaran penganiayaan terhadap haiwan

Siti mahu beri kesedaran terhadap kekerasan yang berlaku terhadap haiwan.

SEDIH melihat penderaan haiwan terus berlaku, pelakon Siti Khadijah tidak boleh melihat penganiayaan dilakukan oleh manusia tidak bertanggungjawab.

Siti atau Siti Khadijah Halim, 27, berkata, dia memahami sekiranya terdapat individu yang mempunyai rasa takut terhadap haiwan namun ia bukan alasan melakukan penganiayaan kepada makhluk tersebut.

"Saya tahu ada yang takut kucing, anjing, katak dan sebagainya. Saya faham sangat tetapi kalau anda tidak suka, saya merayu janganlah sakiti mereka.

"Saya baru sedar yang haiwan juga mempunyai perasaan sama seperti manusia. Ada perangai, trauma dan ketakutan.

siti1 - 1

Siti berkongsi pengalaman pernah dikejar anjing sewaktu kanak-kanak.

"Ya ada yang memandang mudah terhadap haiwan kerana mereka tidak berdaya dan tidak boleh bercakap... Namun itu tidak memberi anda hak untuk menyakiti mereka! Saya sangat pantang kalau nampak orang cuba aniaya haiwan," katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian yang dibuat, Siti dilihat memuat naik foto bersama seekor anjing dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tidak terus melakukan penganiayaan terhadap haiwan.

Dalam pada itu, Siti berkongsi sewaktu kanak-kanak dia pernah dikejar anjing ketika menunggang basikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Khadijah harap bertemu lelaki baik, minta Aniq Suhair doakan di Makkah

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon 'From Saga With Love 2' teruja jumpa Gabenor Saga, Siti Khadijah harap drama dapat kukuhkan hubungan Jepun dan Malaysia

Situasi itu membuatkan dia dan seorang rakannya berasa trauma namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dulu sewaktu usia saya 12 tahun, saya pernah kena kejar anjing. Masa itu saya ingat lagi, saya naik basikal membonceng kawan saya lalu dekat taman perumahan dan tiba-tiba beberapa anjing jalanan kejar kami.

"Saya kayuh selagi boleh tapi saya takut sangat jadi saya lompat dari basikal dan menyorok di tempat pembuangan sampah.

"Anjing itu menyalak dan meninggalkan kami. Waktu itu saya masih kecil lagi, saya memang takut tapi Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan berlaku," ujarnya.

Pelakon drama From Saga With Love ini bagaimanapun mengakui sehingga hari ini dia masih ada perasaan takut terhadap anjing namun berjaya mengatasi ketakutan itu.

siti2 - 1

Siti tidak boleh melihat penganiayaan terhadap haiwan.

Kongsi Siti, dia sebenarnya bukan hanya rasa takut kepada haiwan tetapi ada beberapa fobia terhadap kegelapan dan laut dalam.

"Sekarang pun saya masih lagi agak takut dengan anjing tetapi saya gembira kerana dapat mengatasi ketakutan ini.

"Bukan hanya takut dengan anjing, saya sebenarnya pun takut gelap, takut laut dalam dan banyak lagi.

"Tapi saya hebat sekarang sudah hebat, boleh tidur di bilik gelap dan saya suka aktiviti menyelam. Saya gembira dengan perubahan yang dapat dilakukan dalam kehidupan ini," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain