KEINGINAN penyanyi Datin Alyah merasai keenakan donut air tangan ibunya akhirnya tercapai selepas dibenarkan keluar dari hospital pada Isnin lalu. Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 43, berkata, dia sudah lama mengidam untuk menikmati kuih berkenaan sejak berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji. Namun keinginan tersebut tidak kesampaian susulan ditahan di hospital akibat mengalami batuk berpanjangan sejurus pulang ke tanah air. Alyah berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran di Instagram. "Alhamdulillah dah keluar hospital. Ada di rumah berehat. Kebetulan mak saya ada dan dia usahakan juga buat donut kegemaran saya. "Masa di Makkah saya beli donut sebab teringin tetapi manis betul donut di sana sana. Dalam fikiran saya berkata nak makan donut mak saya. "Saya nak makan donut mak saya bila balik nanti tapi tak sempat nak makan apa-apa terus masuk hospital," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: 2 minggu batuk berpanjangan di Tanah Suci, Alyah dimasukkan ke hospital ARTIKEL BERKAITAN: Perancangan terbaik Allah buatnya, Alyah perkenal Nur Izzara kepada peminat Dalam pada itu, Alyah memberitahu dia mengalirkan air mata kegembiraan apabila menyuap donut yang dihasilkan ibu tersayang. "Sambil makan macam nak menitik air mata saya si insan gembeng ini. Allah SWT Maha Pengasih, jadi bersangka baiklah dengan setiap ujian yang datang," ujarnya. Berkongsi mengenai keadaan terkininya, Alyah memberitahu kesihatannya semakin pulih namun bahagian rusuk kiri masih terasa sakit. "Alhamdulillah saya dah makin sihat cuma rusuk kiri saya masih tak berapa okay. Terima kasih atas doa kalian," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!