PENYANYI dan komposer Yaph lebih selesa mengekalkan penampilan misteri tanpa mendedahkan wajahnya kepada umum. Yaph yang merupakan singkatan kepada 'Yang Aku Panggil Hidup' itu berkata dia sudah tampil dengan imej misteri itu sejak 2019 iaitu selepas tiga tahun pembabitannya dalam bidang muzik. "Daripada awal kemunculan saya memang tidak pernah menonjolkan diri sehinggalah 2019 baru saya muncul dengan penampilan seperti ini. "Saya ingin memberitahu bahawa muzik ini boleh disampaikan tanpa perlu menunjukkan diri sebenar. Yaph selesa sorok identiti wajahnya daripada tatapan umum. "Ini bukan satu strategi pemasaran, memang saya lebih selesa berpenampilan sebegini kerana saya mahu orang ramai lebih menghargai karya-karya seni saya," katanya kepada mStar. Yaph berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Yaph dan Teman-Teman: Perpaduan Irama Hiphop Tradisional yang diadakan di Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada Rabu. Dalam pada itu, Yaph yang enggan mendedahkan nama sebenarnya tidak menafikan penampilan misteri yang dibawa ini adalah disebabkan oleh sikap introvert yang dimiliki dan tidak suka bergaul. "Boleh dikatakan saya juga seorang ‘introvert’, kalau orang cakap saya cuba menyorokkan wajah, memang ya. Syukur, peminat menghormati penampilan saya. ARTIKEL BERKAITAN: Ikut jejak Bandi Amuk dan Encik Mimpi, penyanyi rap, Yaph selesa sorok identiti - “Keluarga pun tak tahu saya jadi penyanyi” ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar datang tunjuk muka, Aqasha tegur bakat baharu tiada hala tuju masuk industri "Insya-Allah saya yakin dengan penampilan sebegini. Saya memang tidak bergaul dengan orang sangat," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Yaph bakal menganjurkan konsert ketiganya iaitu Konsert Yaph dan Teman-Teman: Perpaduan Irama Hiphop Tradisional yang akan berlangsung di RCD Big Studio, Shah Alam, Selangor pada 26 Oktober depan. Konsert yang dianjurkan oleh Silent Set Entertainment itu akan menyaksikan lebih daripada 20 artis yang pernah berkolaborasi bersama Yaph sebelum ini. Saya ingin memberitahu bahawa muzik ini boleh disampaikan tanpa perlu menunjukkan diri sebenar. YAPH PENYANYI "Dua tahun kebelakangan ini saya sudah mengadakan dua konsert solo termasuk beberapa konsert jelajah di beberapa negeri dan Alhamdulillah kesemuanya ‘full house’ dan kira-kira lebih 3,000 pengunjung hadir pada kesemua konsert. "Kali ini saya ingin bawakan teman-teman seperjuangan saya dalam menghasilkan muzik yang sudah melebihi tujuh tahun ke konsert saya sebagai tanda menghargai mereka selain mewar-warkan kepada penyokong saya yang hadir pada malam itu, mereka inilah antara peneman perjalanan muzik saya," katanya. Tampil dengan elemen berbeza, konsert tersebut turut menerapkan muzik tradisional bersama hip hop sebagai satu kelainan. Identiti Yaph (kanan) kekal misteri. Menurut penyanyi itu lagi, konsert ini juga menerima dana daripada Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn Bhd. "Konsert ini menjanjikan lebih dari 27 lagu yang menggabungkan irama hiphop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia. "Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan semula warisan budaya yang kaya dengan elemen-elemen kontemporari yang segar," jelasnya. Peminat boleh mendapatkan tiket di laman web myticketempire dengan harga bermula RM99 sehingga RM249. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!