USAHAWAN Asyraf Khalid menyifatkan keputusan bapanya iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkahwin dengan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai satu pilihan yang tepat. Kata Asyraf atau Muhammad Asyraf Khalid, 32, dia dan adik-beradik yang lain menyedari perkara itu ketika melihat keikhlasan Siti menjaga bapa mereka yang ditimpa kemalangan di New Zealand kira-kira 12 tahun lalu. "Saya rasa waktu ayah sakit jugalah kami adik-beradik sedar memang ayah pilih seorang wanita yang tepat. "Mak Iti (panggilan Siti) berkorban jiwa dan raga. Masa itu ayah punya emosi pun tak stabil. Setiap masa marah, ada sahaja yang tak kena," katanya. Siti dan Asyraf mengimbau kembali saat Datuk K ditimpa kemalangan di New Zealand. Asyraf berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di Apa Cerita Podcast yang dimuat naik di YouTube. Dalam pada itu, Asyraf memberitahu dia mengagumi semangat Khalid untuk terus sihat dan dapat menjalani tempoh pemulihan dalam masa singkat. "Tapi apa yang saya kagum semangat ayah nak pulih itu sangat kuat. Doktor beritahu tempoh pemulihan ayah mungkin makan tahun tapi hanya beberapa bulan ayah sudah pulih. "Tengok hari ini, ayah macam tak ada apa. Dia punya rasa kuat tu dia cakap aku ni boleh kahwin lagi ni," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Gadai nyawa lahirkan Aafiyah, Tunku Azizah minta jangan salahkan Siti Nurhaliza - "Bertenang, saya kongsi cerita dengan mereka" ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza beli rumah pertama di Dubai... Asyraf Khalid tumpang bangga, berseloroh tak perlu lagi sewa hotel Dalam temu bual podcast itu juga, Siti turut mengimbau kembali bagaimana dia mendapat perkhabaran duka itu sebelum berlepas ke Indonesia bagi menjayakan konsert jelajah. Cerita Siti, dia menerima panggilan telefon memberitahu suaminya mengalami kemalangan di New Zealand dan kakak iparnya iaitu Datin Zaiton Mohd Jiwa memintanya untuk pulang segera. "Ketika itu saya sedang buat konsert jelajah di Indonesia. Waktu itu saya sudah pun naik pesawat, pintu pun dah nak tutup dan bersedia untuk berlepas, saya terima panggilan telefon. "Sebenarnya panggilan itu sudah banyak kali dibuat tetapi telefon saya waktu itu ada masalah dan keluarga tak dapat hubungi saya langsung. "Kemudian Kak Zie (kakak ipar) perasan ada banyak kali panggilan telefon dan Kak Ton (kakak Khalid) beritahu ayah (panggilan Khalid) kemalangan. Saya terkejut dan terus pegang telefon Kak Zie dan Kak Ton menangis beritahu ayah kemalangan. Dia suruh saya pulang segera," ujarnya. Kongsi Siti lagi, pada waktu itu dia menghentikan pembabitannya dalam bidang seni semata-mata untuk menjaga dan berada di sisi suami. "Saya bawa pulang suami ke Malaysia dan menjaganya di sini. Mula-mula dalam kepala terfikir macam mana ni mesti nak kena ambil jururawat untuk menjaga suami. Siti pernah menghentikan kerjaya dalam bidang seni untuk menjaga suami. "Tapi sepanjang jaga suami di hospital saya rasa saya boleh menjaga suami, jadi tak perlulah ambil jururawat. "Saya ambil tanggungjawab itu, inilah momen yang kita tak selalu dapat. Saya hentikan kerjaya seni dulu dalam masa enam bulan juga untuk jaga suami sampai sihat," katanya. Pada Disember 2012, Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K mengalami kecederaan apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Queenstown, New Zealand. Akibat kemalangan itu, Khalid mengalami patah bahu dan cedera pada bahagian tangan serta kaki. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!