suria

Awie menangis terkenang arwah ibu bapa semasa konsert, kongsi perjalanan 30 tahun bergelar anak seni

Awie (kanan) menangis mengenangkan arwah ibu dan bapanya pada konsert malam tadi.

PENYANYI Datuk Awie sebak apabila mengenangkan kedua arwah ibu dan bapanya iaitu Azizah Abdul Hamid dan Othman Maarof semasa menjayakan Konsert Awie Journey yang berlangsung pada malam Sabtu.

Kata Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, kehilangan kedua orang tua itu membuatkan dia sedar bahawa dirinya tidak sempat memberikan yang terbaik buat insan yang disayangi itu.

Malah, penyanyi ini mengalirkan air mata semasa menyampaikan lagu Kasihnya Ibu kerana terkenang pengalaman dia perlu bekerja sehari selepas pemergian ibunya pada 12 Disember 2014.

awie2 - 1

Awie membawa peminat menyelusuri perjalanannya sepanjang bergelar anak seni.

"Kehilangan abah dan mak buat saya tersentap, terlupa untuk berterima kasih kepada mereka. Saya terlupa untuk menjaga mereka dengan lebih baik.

"Saat saya terkapai-kapai, doa mak mengubati luka dihati tapi dalam masa berkabung atas pemergian mak, persembahan teater memaksa saya ke pentas.

"Jangan ditanya longlainya kaki, sesak dada yang dirasakan. Mungkin sumpah anak seni berkorban perasaan tak siapa pun tahu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Konsert terakhir angkat konsep monolog dan teatrikal, Awie bakal kongsi perjalanan sebagai anak seni

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada apa lagi nak dikejar sebagai artis, Awie mahu lebihkan masa untuk anak-anak

Dalam pada itu, Awie memberitahu ujian berat yang dihadapinya ketika itu menjadikan dia seorang individu hebat sepanjang bergelar anak seni.

"Sakitnya rindu ini Ya Allah, tolonglah aku merayu kembalikan mereka kerana aku belum cukup bersedia tetapi menangislah air mata darah sekali pun, sungguh mereka tidak akan kembali.

"Justeru ujian tidak didatangkan Allah kecuali untuk menjadikan kita manusia lebih hebat. Perjalanan ini adalah bukti yang menjadikan siapa aku sebenarnya. Inilah aku, anakmu Awie," ujarnya.

Menerusi konsert yang berlangsung selama tiga jam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) itu, Awie menyampaikan 30 buah lagu popularnya antaranya Ratuku, Dipenjara Janji, Ukiran Jiwa, Peronda Jaket Biru dan Sayap Ilusi.

Tidak puas dengan senarai lagu yang dibawa, pada penghujung konsert penonton menjerit meminta Awie untuk menyanyikan lagu popularnya bersama kumpulan Wings iaitu Sejati.

awie1 - 1

Awie membawakan dua buah lagu bersama Wings.

Awie bertindak spontan dan memberi kejutan kepada peminat dengan memanggil anggota kumpulan Wings iaitu Eddie (pemain bass) dan Black (dram) untuk naik ke pentas bagi menyanyikan lagu Sejati dan Ingatkan Dia.

Seramai 3,000 penonton terhibur dengan persembahan konsep monolog dan teatrikal yang mengimbau kembali perjalanan seni Awie sepanjang lebih 30 tahun dalam industri hiburan.

Konsert Awie Journey ini turut menyaksikan kehadiran barisan selebriti popular Malaysia termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Beto Kusairy dan Amir Masdi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain