suria

[V] Jay Jay luah hasrat beli kereta baharu selepas keluar hospital, pesan anak jaga ibu

ANAK bongsu kepada penyanyi Allahyarham Jay Jay iaitu Nur Kamelia Mohd Fauzi memberitahu arwah bapanya ada menyatakan hasrat mahu membeli sebuah kereta baharu sejurus keluar daripada hospital.

Kamelia, 28, bagaimanapun berkata ketika itu dia hanya melayani kerenah bapanya yang terlantar di katil hospital, namun sama sekali tidak menyangka bapanya akan pergi seawal itu.

"Tiada pesanan terperinci tapi dia sempat serahkan tanggungjawab menjaga ibu kepada saya.

jay jay 55

Jenazah Allahyarham Jay Jay sebelum dikebumikan.

"Dia pernah luah ingin beli kereta Volvo bila keluar hospital. Kita sebagai anak layankan saja," katanya kepada mStar.

Kamelia berkongsi perkara itu ketika ditemui di Masjid Al Husna Bandar Sunway, Petaling Jaya bagi pengurusan jenazah.

Berkongsi keadaan bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir, Kamelia berkata Jay Jay kurang bercakap selepas diserang dua kali strok.

ARTIKEL BERKAITAN: Jay Jay tak tunjuk tanda sakit, isteri reda pemergian suami

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Jay Jay meninggal dunia

"Keadaan ayah semakin teruk selepas pembedahan jantung (bypass) kerana berlaku kegagalam pada beberapa bahagian organ dalaman.

"Ayah sepatutnya dibenarkan pulang minggu lepas tapi ada jangkitan kuman dalam air kencing. Selepas itu organ lain pula mengalami kerosakan.

"Ayah juga mengalami dua kali serangan strok. Disebabkan itu ayah jadi kurang bercakap, tetapi saya puji kecekalan semangatnya untuk berjuang melawan sakitnya," luahnya.

TOP jayjay - 1

Lagu-lagu nyanyian Jay Jay akan terus dikenang.

Pada 23 Mei lalu, Jay Jay menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Selepas menjalani pembedahan, penyanyi berkenaan diserang angin ahmar dan meneruskan rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada jam 9.27 malam Ahad.

Allahyarham meninggalkan empat orang cahaya mata iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Subang Jaya, Selangor sebelum solat Zohor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain