SEHARI selepas menimang cahaya mata, pendakwah selebriti Da'i Syed mengumumkan nama puteri sulungnya itu. Syed atau Syed Shah Iqmal Mohammad Shaiful Jamallulail, 29, memilih nama Sharifah Fatma Nour Jamalullail buat anak pertamanya. Kata Syed, nama tersebut dipilih kerana mempunyai makna yang baik dalam Islam. Syed berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram pada Khamis. "Perkenalkan Sharifah Fatma Nour Jamalullail dilahirkan pada 14 Ogos 2024 bersamaan dengan 9 Safar 1446H. "Sharifah bermaksud yang mulia, Fatma adalah pemberian dan Nour adalah cahaya," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Khamis. Sebelum ini, Syed memaklumkan isterinya iaitu pengacara Hana Ismail selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada Rabu lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Da'i Syed dan Hana Ismail selamat timang cahaya mata sulung ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi foto ‘baby bump’, Da'i Syed dan isteri bakal timang cahaya mata tak lama lagi Berkongsi lanjut mengenai kelahiran anak perempuannya, Syed memberitahu isterinya itu bersalin secara normal tanpa sebarang masalah. Bersyukur atas kehadiran bayi berkenaan, Syed turut mengharapkan doa dan sokongan orang ramai buat keluarga kecilnya. "Syukur pada Allah atas kelahiran puteri sulung kami, dan isteri bersalin secara normal Alhamdulillah. Syed dan Hana selamat menimang cahaya mata perempuan. "Alhamdulillah, kami akhirnya keluarga bertiga. Mohon doakan kebaikan buat keluarga kecil kami," ujarnya. Untuk rekod, Syed dan Hana mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022 di Kuala Lumpur. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!