BERBAKI tiga lagi episod, penonton nampaknya sudah tidak sabar menantikan apakah kesudahan kisah hidup Widad, Soleiman dan Hanan menerusi drama Viu Original Bawah Payung Awan musim kedua. Kisah pergelutan hidup ketiga-tiga mereka yang dibesarkan di kawasan setinggan membuatkan penonton tidak senang duduk menantikan pengakhiran konflik mereka yang sentiasa diselubungi pelbagai masalah dan dugaan. Bermula dengan Widad lakonan Nabila Razali yang kini menjadi seorang doktor, Soleiman (Ben Amir) dengan kerjayanya sebagai cef, namun kehidupan Hanan dilihat penuh cabaran kerana selain bergelar pelakon dia juga merupakan seorang perempuan simpanan. Jalan cerita mengenai Hanan lakonan mantap Nelissa Nizam paling dinanti-nantikan selepas dia membunuh ‘sugar daddy’ yang juga bapa kepada Rykal (Muaz Zabir). Watak Hanan antara yang mendapat perhatian penonton. Bukan mudah melakonkan watak Hanan, Nelissa atau Nelissa Edreena Nizam, 26, mengakui dia mengalami serangan panik pada hari terakhir penggambaran kerana terlalu beremosi dengan pengakhiran yang diterima oleh karakter berkenaan. Kata Nelissa, dia tidak dapat membayangkan bagaimana Hanan perlu melalui semua penderitaan yang berlaku dalam hidupnya dalam dunia realiti. "Babak paling sedih untuk saya adalah apabila perlu sampaikan rasa sakit, dendam dan marah terhadap ibu kerana tidak dapat lindungi Hanan sejak kecil dan dirogol oleh abang sendiri. "Pada hari terakhir di set penggambaran saya kena serangan panik sewaktu berlakon. Saya rasa macam nak 'pecah', bukan kerana babak itu berat tetapi saya kasihan sangat melihat Hanan. Saya tidak henti menangis," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan paksaan sesiapa, Ben Amir rela korban rambut panjang demi 'Bawah Payung Awan' ARTIKEL BERKAITAN: Dah ramai 'sangkut' cerita ini... Misteri siri Viu Original Nafsu buat penonton tak senang duduk Kongsi Nelissa lagi, dia menerima pelbagai reaksi penonton sehingga ada yang mengecamnya bukti watak Hanan meninggalkan kesan dan dia berjaya menzahirkan peranan tersebut dengan baik. "Saya menerima komen yang negatif tetapi positif. Kebanyakan penonton membenci watak Hanan, ia adalah satu respon yang baik. Saya bersyukur juga ada penonton yang kasihankan Hanan kerana tahu apa yang dia lalui. "Disebabkan itu saya suka sangat watak Hanan ini. Dia seorang yang kompleks, Hanan bukan hanya jahat tetapi dia adalah manusia yang jahatnya semua bersebab," jelasnya. Pelakon berkenaan turut memberi spoiler episod terakhir yang pastinya bakal memberi kejutan buat penonton. Nelissa akui terkesan dengan pembawakan watak Hanan. "Saya bagi spoiler sikitlah, pada episod terakhir semua watak akan kehilangan seseorang dalam hidup mereka. "Itu sahaja yang saya boleh cakap. Saya harap drama ini mendapat tempat dihati penonton dan dapat beri pengajaran kepada semua," katanya. Selain Hanan, watak yang dibawa oleh Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 32, turut mendapat perhatian ramai kerana berjaya menjentik emosi penonton dalam menzahirkan watak Widad dengan cemerlang. Daripada seorang gadis malang, Widad berjaya keluar daripada kehidupan setinggan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai ranjau sebelum berjaya bergelar seorang doktor. Lakonan mantap Nabila (kiri) turut mendapat reaksi positif penonton. Tidak hanya tentang jalan cerita, pemilihan lokasi penggambaran serta gambaran realiti kehidupan di kawasan setinggan membuatkan ia dekat di hati penonton. "Bagi yang pernah merasai (kehidupan setinggan) mereka mesti tahu tentang realiti dan bukannya sekadar kisah fantasi. "Memang wujud kehidupan sedaif itu dan beban yang perlu ditanggung oleh seorang gadis berumur 17 tahun," ujarnya. Enggan berkongsi spoiler episod akhir, Nabila sebaliknya memberi bayangan akan ada plot twist yang mungkin mengejutkan penonton. "Apa boleh saya katakan pengakhiran drama ini akan ada plot twist, akan ada perkara yang anda sangka mungkin berlaku sebaliknya," katanya. Saksikan pengakhiran Bawah Payung Awan yang bakal mengejutkan ramai. Diadaptasi daripada novel tulisan Liza Nur, pengarahnya Azri Izhar berjaya menggarap tentang kisah gelap dan realiti kehidupan di kawasan setinggan yang mungkin tidak diketahui ramai. Tidak hanya itu, Azri turut berjaya menggarap nilai positif di sebalik konflik yang timbul termasuk mengetengahkan tentang hubungan kekeluargaan, persahabatan dan pengorbanan. Kesemua elemen tersebut menjadikan Bawah Payung Awan mempunyai tarikan tersendiri sehingga ia meninggalkan kesan di hati penonton. Drama 30 episod terbitan Viu Malaysia bersama Global Film Sation Sdn Bhd itu mula ditayangkan sejak 13 Jun lalu turut dibarisi pelakon Amyza Aznan, Riz Amin, Adam Malek, Kodi Rasheed, Watie Sadali dan Lan Siro. Berbaki tiga lagi episod, peminat kini boleh mula menonton kesemua episod drama Bawah Payung Awan di platform penstriman Viu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube