suria

Pelakon ‘Bad Boys’ mesej Fad Anuar, berminat mahu belajar silat siap ajak berlatih sama

Fad (kiri) terima mesej daripada Dennis menerusi DM di Instagram.

PELAKON Fad Anuar tidak menyangka kebolehannya terhadap seni mempertahankan diri iaitu silat mendapat perhatian daripada aktor filem Bad Boys: Ride or Die iaitu Dennis Mcdonald.

Menurut Fad, 35, dia menerima mesej daripada Dennis yang begitu tertarik dengan aksi pertarungan dilakonkan olehnya sebelum ini.

Kata Fad, Dennis menawarkan diri untuk berlatih bersama dan meminta nasihat bagi watak yang akan dibawa dalam projek terbaharunya selepas ini.

"Saya menerima mesej daripada pelakon filem Bad Boys. Dia sebenarnya sedang mengambil tahu tentang seni mempertahankan diri. Mungkin di IG saya letak tanda pagar tentang silat, itu yang dia terjumpa video saya.

fad2 - 1

Fad sinonim dengan lakonan aksi seni mempertahankan diri.

"Dia terus follow IG dan mesej saya. Dia ajak saya berlatih sama, dia ingat saya menetap di New York. Filem saya iaitu Geran pun pernah sampai ke New York kan, mungkin dia ingat saya tinggal di sana.

"Saya beritahu saya berasal dari Malaysia. Dia tanya bila boleh berlatih bersama. Dia mahu nasihat dan tunjuk ajar daripada saya untuk watak filem seterusnya," katanya kepada mStar.

Fad berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem Pungut yang diadakan di GSC Midvalley, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Sementara itu, Fad tidak keberatan untuk mengajar Dennis meskipun hanya menerusi panggilan video sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah pemungut sampah ke layar perak, ‘Pungut’ papar kepayahan harungi liku kehidupan

ARTIKEL BERKAITAN: Filem 'Walid' masuk panggung Amerika, pengarah anggap kejayaan luar biasa

Malah, Fad turut mencadangkan kepada aktor Hollywood itu untuk memperkenalkan seni silat Melayu dalam filem terbaharunya nanti.

"Dia kata dia nak mengetengahkan seni mempertahankan diri di projek lakonannya selepas ini.

"Saya ada beritahu dia untuk belajar bersilat. Saya kata kalau dia boleh bawa silat sebagai seni mempertahankan diri dalam filem, dia adalah orang kulit hitam pertama yang berlakon silat di dunia.

"Saya ada juga tanya kepadanya bagaimana dia mahu saya mengajarnya sama ada melalui aplikasi zoom atau video, saya tiada masalah," ujarnya.

Dia (Dennis) mahu nasihat dan tunjuk ajar daripada saya untuk watak filem seterusnya.

FAD ANUAR

PELAKON

Kongsinya lagi, Dennis terbuka hati menerima pandangannya itu namun memerlukan masa untuk berbincang dengan pihak pengurusannya.

Fad bagaimanapun tidak menolak sekiranya perlu terbang ke New York bagi menjalinkan kerjasama dengan aktor berkenaan.

"Dia setuju tetapi sekarang dia sedang sibuk dengan promosi filem. Dia pun perlukan masa untuk berbincang dengan pengurusnya.

"Kalau ada rezeki saya, insya-Allah saya akan terbang ke New York untuk bekerjasama dengannya.

fad - 1

Kiriman mesej yang dihantar oleh Dennis kepada Fad.

"Kalau saya dapat setakat satu atau dua babak dalam filem lakonannya pun saya sudah bersyukur. Tapi saya tidaklah berharap, berangan itu kan percuma," jelasnya.

Pelakon Takluk: Lahad Datu ini melihat lamaran yang diterima daripada aktor Hollywood tersebut merupakan satu langkah positif dalam kerjayanya sebagai anak seni.

Malah dia berbesar hati apabila orang luar memandang seni mempertahankan diri budaya masyarakat Melayu sebagai satu keunikan.

"Saya lihat tawaran ini sebagai satu langkah positif. Orang luar sendiri menghargai bakat seni kita.

"Saya memang teruja bila orang luar nak belajar tentang budaya kita sebab bukan semua orang kita mahu ambil tahu tentang tentang seni budaya negara sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fad berkongsi rasa teruja bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul 'Pungut' arahan Areel Abu Bakar.

Cerita Fad, dia perlu sentiasa mempersiapkan diri sewaktu berada di set penggambaran lebih-lebih lagi adegan berlawan kerana Areel merupakan seorang pengarah yang berfikiran spontan.

fad1 - 1

Fad (kiri) membintangi filem Pungut arahan Areel Abu Bakar.

"Untuk babak aksi berlawan seperti biasa Areel sentiasa melakukan 'silap mata' secara tiba-tiba. Dia boleh minta pelakon untuk melakonkan aksi apa sahaja menurut kehendaknya.

"Disebabkan itu dia memerlukan pelakon yang mempunyai asas seni mempertahankan diri. Bukan sahaja aksi, skrip pun dia boleh tukar pada bila-bila masa," ujarnya.

Selain Fad, filem Pungut turut dibintangi barisan pelakon termasuk Aman Graseka, Ruzaidi Abdul Rahman, Megat Sharizal, Yusran Hashim dan ramai lagi.

Pungut bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 29 Ogos ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain