suria

Harap badan sado tapi lembik, Ruzaidi Abdul Rahman belum nampak pelapis pelakon aksi lelaki

Ruzaidi bimbang melihat tiada pelapis baharu untuk menjadi hero filem aksi.

PENGALAMAN membimbing dan mengajar koreografer seni mempertahankan diri kepada bakat baharu membuatkan pelakon Ruzaidi Abdul Rahman bimbang industri seni tidak mempunyai pelapis aktor aksi lasak.

Ruzaidi, 59, berkata, hasil pemerhatiannya ramai pelakon-pelakon lelaki tidak mempunyai kecergasan fizikal yang baik bagi melakonkan watak membabitkan babak aksi.

Kebanyakan daripada mereka sebaliknya hanya bersandarkan pada rupa paras dan bentuk badan menawan namun tidak dilengkapi dengan asas kemahiran dalam seni mempertahankan diri.

"Baru-baru ini saya diminta untuk melakukan koreografer untuk babak aksi, pelakonnya memang 'sado' tetapi tak boleh bertumbuk dan berlawan.

ruzaidi1 - 1

Ruzaidi kecewa melihat industri lakonan babak aksi masih tidak mempunyai pelapis baharu.

"Saya kecewa melihat pelakon baharu itu. Badan cantik, muka dah kacak tetapi tak boleh berlawan. Dia kena buat juga aksi perlawanan itu tapi tak cantiklah.

"Betapa susahnya saya nak mengajar dia berlawan. Semuanya teknik asas mempertahankan diri pun dia tak boleh buat," katanya kepada mStar.

Ruzaidi berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem Pungut yang diadakan di GSC Midvalley, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, dia belum bertemu dengan mana-mana pelakon generasi baharu yang mampu menjadi pelapis bagi melakonkan aksi lasak.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah pemungut sampah ke layar perak, 'Pungut' papar kepayahan harungi liku kehidupan

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon 'Bad Boys' mesej Fad Anuar, berminat mahu belajar silat siap ajak berlatih sama

Menurut Ruzaidi, seorang pelakon yang baik bukan hanya berdasarkan raut wajah tampan namun haruslah mempunyai fizikal tegap untuk menjadi seorang aktor versatil.

"Pada ketika ini saya belum lagi melihat pelakon-pelakon baharu berpotensi untuk melakonkan filem aksi.

"Kalau ada pun gayanya seperti 'dibuat-buat'. Tapi sayangnya pelakon seperti itu yang diagung-agungkan. Macam mana kita nak bersaing dengan negara luar?

"Bagi saya untuk menjadi seorang hero ini perlu dilihat secara keseluruhannya. Wajah yang tampan itu bonus, jagalah kesihatan fizikal dengan baik," ujarnya.

Badan cantik, muka dah kacak tetapi tak boleh berlawan.

RUZAIDI ABDUL RAHMAN

PELAKON

Tidak hanya itu, pelakon filem Abang Long Fadil ini turut meluahkan kekesalan apabila memikirkan Malaysia juga kekurangan hero berusia bagi memegang watak utama dalam filem aksi.

Kongsi Ruzaidi, kebanyakan pelakon lelaki di negara kita tidak menjaga kesihatan fizikal dengan baik sehingga mempengaruhi tahap kecergasan mereka dalam melakonkan pelbagai watak.

"Saya rasa kesal kerana di Malaysia tidak ada hero berusia. Saya rasa hero tua yang ada di Malaysia ini hanya ada dua iaitu Eman dan saya.

"Bagi saya mereka mungkin sudah tidak kuat dan cergas. Kalau tak sihat macam mana? Takkan kita hanya nak berlakon hanya dengan berdialog sahaja. Sebagai pelakon perlu juga tunjukkan kekuatan daripada segi fizikal.

ruzaidi2 - 1

Ruzaidi (kiri) menjadi teraju utama dalam filem Pungut.

"Lihat sahaja di Hollywood, contohnya Sylvester Stallone dia masih boleh berlakon filem aksi... Saya agak kecewa pelakon-pelakon berusia tidak mempunyai kecergasan fizikal yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ruzaidi bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul 'Pungut' arahan Areel Abu Bakar.

Filem ini mengisahkan tentang Salleh yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan berhampiran dengan sebuah Kawasan pelupusan sampah dan bekerja sebagai mengutip barang-barang lusuh.

Sejak tinggal di situ, Salleh tenang menjalani kehidupan walaupun ada beberapa penduduk yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti judi, mabuk dan pemerasan.

Selain Ruzaidi, filem Pungut turut dibintangi barisan pelakon termasuk Fad Anuar, Aman Graseka, Ruzaidi Abdul Rahman, Megat Sharizal, Yusran Hashim dan ramai lagi.

Pungut bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 29 Ogos ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain