suria

Pembukaan festival antarabangsa Sharq Taronalari ke-13 meriah, DBKL hantar peserta wakili Malaysia persembah lagu Melayu Asli

Antara persembahan yang memukau ketika pemubukaan Festival Antarabangsa Sharq Taronalari di Samarkand, Uzbekistan. Foto ihsan daryo.uz

PEMBUKAAN acara muzik dan kebudayaan terbesar Asia Tengah iaitu Festival Muzik Antarabangsa, Sharq Taronalari ke-13 yang diadakan di Samarkand, Uzbekistan pada malam Isnin berlangsung gah dan meriah dengan tuan rumah menampilkan satu persembahan kebudayaan luar biasa daripada pelbagai negara.

Acara itu diadakan di Dataran Registan, yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, kira-kira 300 kilometer dari ibu negaranya, Tashkent. Ia melibatkan penyertaan lebih 300 orang peserta daripada kira-kira 80 buah negara.

Sharq Taronalari yang bermaksud Melodi Timur, merupakan festival terbesar di Asia Tengah. Ia mula diperkenalkan pada 1997 dan diadakan dua kali setahun, anjuran Kementerian Kebudayaan negara itu.

uzbek 4

Antara persembahan kebudayaan pada acara sama yang pernah diadakan sebelum ini.

Kali terakhir penganjurnya pada 2019 dan selepas itu dihentikan seketika apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.

Pembukaan festival dimulakan dengan ucapan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, mengalu-alukan kedatangan tetamu ke acara itu.

Pihak tuan rumah juga memperkenalkan negara-negara yang bertanding menerusi kibaran bendera selain persembahan kebudayaan tradisional daripada negara-negara terpilih.

ARTIKEL BERKAITAN: Gamit nostalgia, menara jam unik terselit dengan kisah sejarah... Ini 5 lokasi menarik wajib singgah!

ARTIKEL BERKAITAN: Pilot kongsi panorama pulau ‘Jurassic Park’ dari udara... Tak jauh dari Malaysia, semua orang boleh pergi

Alunan muzik tradisional yang dimodenkan dengan kostum kebudayaan setiap negara menjadi perhatian tetamu pada malam itu selain pancaran gemerlapan cahaya lampu yang menyuluh seni bina sekitar datarannya.

Acara yang diadakan selama lebih dua jam itu ditutup dengan pertunjukan bunga api sebagai tanda bermulalah festival berkenaan selama lima hari yang akan berakhir pada Jumaat ini.

Pada tahun ini, Malaysia diwakili oleh enam orang peserta Orkes Melayu Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

uzbek 2

Keunikan latar belakang ketika berlangsung festival.

Mereka terdiri daripada Syed Shariz Faisal Syed Hussain (vokalis dan pemain bes), Oly Fizly Othman (perkusi), Nurfarhana Abu Bakar (vokalis), Aris Kalisa Razli (gitar), Adam Shahrir Omar (akordion) dan Muhammad Saufi Nasyari (biola).

Peserta berkenaan turut ditemani pegawai pengiring dari agensi yang sama iaitu Melvin David dan Mohd Isa Ismail.

Dalam pertandingan ini mereka akan mempersembahkan lagu-lagu yang menggabungkan genre tradisional Melayu iaitu Joget, Zapin dan Inang serta Dondang Sayang dan Mek Mulung.

uzbek 3

Wakil dari Malaysia iaitu Orkes Melayu Kuala Lumpur, DBKL.

Mereka akan turut menonjolkan pakaian tradisional Malaysia dengan memakai Baju Melayu Teluk Belanga moden bersama songket Terengganu sementara peserta perempuan akan memakai pakaian baju kurung Puteri Perak.

Para peserta akan dinilai daripada segi identiti nasional lagu, keharmonian dan makna lirik, tahap kemahiran penghibur, pakaian budaya, dan pergerakan pentas yang menjadi kriteria penting untuk pertandingan.

Negara bertuah yang terpilih memenangi festival ini akan diumumkan pada acara penutupnya Jumaat ini.

Foto - Daryo 2

Antara persembahan yang luar biasa dipertontonkan. Foto: daryo.uz

Satu pemenang utama bakal memperoleh hadiah berupa wang tunai AS$10,000 (RM43,500) dua pemenang tempat pertama akan menerima AS$5,000 (RM21,700), dua pemenang tempat kedua akan mendapat AS$3,500 (RM15,200) dan tiga pemenang tempat ketika akan menerima AS$2,000 (RM8,700).

Dalam acara serupa pada 2007, Kumpulan Ghazal Seri Maharani dari Muar Johor berjaya mengharumkan nama negara apabila memperoleh tempat ketiga yang melayakkan mereka menerima AS$3,000 (RM10,200).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain