AHLI Inteam iaitu Hazamin mendedahkan kumpulannya itu pernah disekat daripada memasuki United Kingdom (UK) selama 10 tahun. Menurut Hazamin atau Muhammad Hazamin Harun, 44, perkara itu berlaku gara-gara pihak imigresen negara berkenaan mengetahui Inteam tiada permit untuk melakukan persembahan pada tahun 2010. "Kami pernah dihantar pulang ke Malaysia dari United Kingdom disebabkan tiada permit persembahan. Hazamin ketika berucap di sidang media album Qasidah Qalbu. "Persembahan itu dianjurkan pelajar dari Universiti Sheffield, tapi bila kami sampai di imigresen mereka dapat tahu kami ada persembahan tanpa permit. "Jadi tiga orang lain selain daripada saya disuruh balik dan kena tahan di sana siap ambil gambar macam penjenayah, 10 tahun kami tidak dibenarkan masuk ke United Kingdom," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Hazamin memberitahu hanya dia seorang sahaja yang dibenarkan memasuki negara tersebut dan sempat melakukan satu persembahan. Gara-gara larangan itu, mereka terpaksa membatalkan dua lagi lokasi persembahan. ARTIKEL BERKAITAN: Inteam rakam semula ‘Kasihku Abadi’, tampil Ezad Lazim beri nafas baharu ARTIKEL BERKAITAN: Lagu nasyid masih relevan, Inteam ikut trend dekati peminat muda... mahu sampaikan nasihat dan mesej Islam "Saya buat persembahan seorang sahaja waktu tu kerana tiga lagi anggota Inteam dihantar pulang. "Ikutkan ada tiga tempat berbeza, tetapi saya buat satu sahaja dan yang lain terpaksa dibatalkan," ujarnya. Hazamin bagaimanapun menganggap apa yang berlaku itu ada hikmah buat kumpulan mereka. Ini kerana Inteam dapat bertemu dan bekerjasama dengan syarikat rakaman Awakening Records serta menjadi pengedar album penyanyi Maher Zain di Malaysia. Kami pernah dihantar pulang ke Malaysia dari United Kingdom disebabkan tiada permit persembahan. HAZAMIN AHLI INTEAM "Ada hikmah apa yang jadi sebab kebetulan kami ke sana dapat jumpa bos Maher Zain iaitu Awakening Records. "Ada mesyuarat dan tercetuslah dapat perjanjian jadi pengedar album Maher Zain," katanya. Meskipun sekatan itu sudah berakhir, namun Hazamin memberitahu mereka masih trauma dengan kejadian yang berlaku 14 tahun lalu. "Sekarang dah boleh masuk tapi tak cuba lagi sebab dah trauma," jelasya. Inteam berkolaborasi bersama beberapa artis untuk album Qasidah Qalbu. Dalam perkembangan lain, Inteam tampil berkaborasi bersama Lah Ahmad, Pot Innuendo, Azan Ruffedge, Amer BinYusoff, Zaf VE dan Ustaz Kyrel Al-Gayauwi dalam album Qasidah Qalbu Untuk Yang Dirindu. Album itu mendapat sokongan dalam bentuk dana berjumlah RM100,000 bagi 10 buah lagu dan video muzik daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. Malah album itu diterbitkan sebagai dedikasi khas untuk Rasulullah SAW sempena hari ulang tahun kelahiran Baginda pada 12 Rabiulawal. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!