SELEPAS enam tahun berlalu, penyanyi Zamani mendedahkan dia terpaksa menanggung perasaan malu sewaktu membuat persembahan ketika menyertai program realiti nyanyian Gegar Vaganza. Menurut Zamani atau Zamani Ibrahim, 54, dia hampir menarik diri daripada menyertai program berkenaan kerana mengalami masalah suara sebelum malam latihan penuh untuk minggu berkenaan. Bagaimanapun, pengarah muzik Datuk Ramli MS selaku juri menasihatkan Zamani untuk meneruskan persembahan bagi membuktikan penyanyi berkenaan benar-benar tidak sihat. Zamani mengaku berasa malu ketika membuat persembahan di minggu kelima GV5. "Pada mulanya saya ingin menarik diri daripada program tersebut tetapi Ramli MS suruh saya menyanyi sahaja dan biarkan penonton tahu yang saya benar-benar sakit. "Jadi mahu atau tidak saya menyanyi juga dengan wajah yang tidak rela kerana malu. Waktu itu perasaan saya memang malu kerana suara sudah tidak boleh keluar tetapi saya tetap kena menyanyi juga," katanya. Zamani berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di Dol's Podcast yang dimuat naik di YouTube. ARTIKEL BERKAITAN: Peti suara koyak punca Zamani 'membisu' di pentas GV5 ARTIKEL BERKAITAN: [V] Slam digelar band kampung... Zamani tak kecil hati, bangga lagu evergreen sehingga kini Dalam pada itu, Zamani menceritakan masalah kehilangan suara itu berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dia tidak lagi mampu untuk menyanyi. Kata Zamani, perkara itu terjadi selepas dia menikmati buah tembikai namun enggan menyalahkan mana-mana pihak. "Perkara itu (hilang suara) berlaku secara tiba-tiba, petang waktu soundcheck semuanya okay sehinggalah saya makan tembikai. Saya husnuzon sahaja anggap perkara tersebut terjadi kerana buah tembikai. "Selepas daripada itu suara saya dah tak boleh keluar. Tapi tak sangka hasilnya persembahan saya pada minggu itu mendapat perhatian penonton yang memberikan sokongan," ujarnya. Zamani sewaktu menyanyikan lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta' di GV5. Pada Oktober 2018, Zamani sepatutnya tersingkir dalam Gegar Vaganza ke-5 (GV5) minggu kelima namun bernasib baik kerana memperoleh imuniti daripada penaja, Datuk Seri Aliff Syukri. Pengasas D'Herbs itu berbuat demikian kerana mahu mengekalkan Zamani yang disifatkan berpotensi walaupun dia tidak membuat persembahan atas faktor kesihatan. Pengumuman itu mendapat sokongan peminat yang mulanya agak terkejut apabila Zamani hanya diam kaku ketika gilirannya menyampaikan lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta'. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!