suria

[V] Mengalir air mata Liyana Jasmay, arwah ibu dan bapa tak sempat tonton filem baharu… Besar ujian ketika penggambaran

DALAM kegembiraan kembali berlakon filem, aktres Liyana Jasmay turut meluahkan rasa sedih kerana kedua ibu bapanya tidak dapat menyaksikan hasil karya terbarunya berjudul Baik Punya Ah-Long.

Bagi Liyana, 38, ibunya Allahyarham Datin Hapsah Simpon adalah orang yang sentiasa ada ketika dia memulakan karier seni dan turut membantu dalam pengurusan kerjaya.

"Biasanya kalau malam tayangan perdana dia (arwah ibu) akan selalu ada. Malam ini dia tiada. Agak menyedihkan bagi saya," katanya kepada mStar.

liyana jasmay 2

Liyana tidak dapat menahan sebak berkongsi kisah duka.

Liyana ditemui ketika majlis tayangan perdana filem berkenaan yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.

Karya arahan Datuk Afdlin Shauki ini merupakan penampilan semula Liyana selepas 11 tahun tidak berlakon filem.

Menjalani penggambaran sekitar tahun 2020, tambah aktres ini dia juga berdepan cabaran untuk mendalami watak komedi sedangkan ketika itu mendapat khabar arwah bapanya menghidap kanser paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Liyana Jasmay meninggal dunia akibat kanser

ARTIKEL BERKIATAN: Bapa Liyana Jasmay meninggal dunia akibat kanser paru-paru

"Ketika penggambaran saya dapat tahu ayah menghidap kanser. Agak mencabar kerana saya perlu berlakon kelakar dan gembira sedangkan ayah sedang sakit.

"Kedua ibu bapa saya teruja kerana dapat kembali berlakon dengan Afdlin. Mereka adalah peminat nombor satu saya, tetapi malam ini mereka tiada di sini untuk menonton," ujarnya.

Untuk rekod ibu Liyana meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 12 Mei tahun lalu.

Mereka adalah peminat nombor satu saya, tetapi malam ini mereka tiada di sini untuk menonton

LIYANA JASMAY

PELAKON

Sementara ibu bapanya iaitu Allahyarham Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia pada 17 Disember 2021.

Liyana tampil memegang watak Cik Pa dalam Baik Punya Ah-Long di samping pelakon lain seperti Johan, Zizan Razak, Chew Kinwah dan Afdlin sendiri.

Filem ini mengisahkan tentang dua beradik iaitu Aloy (Johan) dan Aley (Zizan) yang menjalankan perniagaan sendiri selepas dipaksa oleh bapa angkat mereka.

liyana jasmay 3

Liyana kembali berlakon filem dalam Baik Punya Ah-Long.

Meskipun tidak berpengalaman mereka menyahut cabaran tersebut namun usahaw yang dijalankan itu telah mengguggat kegiatan Lan Panda (Afdlin).

Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas ini bakal mula ditayangkan pada 12 September.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain