suria

Menang banyak anugerah bukan tiket Aina Abdul mudah dapat penaja, biaya sendiri konsert cecah belanja ratusan ribu

Aina bakal muncul dengan Konsert Aina Abdul Imaji Tour bermula Disember depan.

KEMENANGAN pelbagai anugerah dalam industri muzik tidak memberi jalan mudah untuk penyanyi Aina Abdul mendapat tajaan bagi menganjurkan konsert.

Kata Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, dia tidak menganggap setiap kemenangan yang diperoleh memberikan jaminan untuk menerima tajaan dalam setiap persembahan nyanyian.

"Saya tidak pernah menganggap dengan kemenangan di anugerah-anugerah besar membuatkan perjalanan seni saya menjadi lebih mudah.

"Saya pun masih baru dalam industri hiburan ini. Saya tidak berani untuk bercakap saya mudah untuk mendapat penaja selepas memenangi beberapa anugerah.

aina2 - 1

Aina hampir berputus asa kerana tidak dapat penaja konsert.

"Kalau perkara itu memang benar-benar berlaku (dapat tajaan), sudah tentu saya sangat gembira dan bersyukur," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Aina memberitahu dia hampir menyerah untuk menganjurkan konsert jelajah bagi mempromosikan album Imaji kerana gagal mendapat tajaan.

Tegas Aina, dia tidak boleh menangguhkan lagi konsert jelajah tersebut kerana sudah mempunyai perancangan lain yang akan dilakukan pada tahun depan.

"Sebenarnya saya hampir menyerah selepas bulan April lalu saya bercakap dengan team rasanya sudah malas untuk menganjurkan konsert jelajah ini kerana takut kecewa.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aina Abdul tepis gosip bercinta dengan juruvideo peribadi, tiada masa fikir soal hati... Sibuk buat persiapan konsert di 3 lokasi

ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan ‘patuh’ Aina Abdul tetap gah, iringan 60 pemuzik MPO serlah keunikan vokal

"Namun saya ada sokongan yang sangat kuat oleh orang-orang yang suka menonton persembahan saya. Peminat tahu kalau saya menyanyi saya akan gembira dan kalau tidak saya takkan happy.

"Sejujurnya saya penat menunggu sebuah syarikat yang boleh membantu saya. Kalau boleh saya tidak mahu bawa konsert ini ke tahun depan kerana ia bukan lagi masa untuk saya mempromosikan album Imaji," ujarnya.

Aina bagaimanapun mengambil langkah untuk membiayai perbelanjaan sendiri untuk menganjurkan konsert jelajah yang menelan bajet sebanyak ratusan ribu.

Kata Aina, meskipun hanya dapat membuat persembahan di beberapa buah lokasi sahaja, dia sudah berpuas hati kerana dapat merealisasikan impiannya itu.

"Walaupun banyak penolakan yang kami terima untuk menganjurkan konsert jelajah ini, itu tidak menjadi pengukur sama ada saya boleh meneruskan niat untuk membuat konsert atau tidak.

aina1 - 1

Aina terus kuat dengan sokongan daripada peminat.

"Saya cakap dengan team saya, tak kisahlah kalau tak dapat buat di banyak lokasi janji beri saya buat persembahan. Bagi saya menyanyi.

"Untuk menganjurkan konsert memerlukan kos, jadi saya keluarkan bajet sendiri sahaja. Konsert-konsert sebelum ini semuanya atas bajet sendiri juga dan kini sekali lagi kami melakukannya," katanya.

Aina bakal menjelajah ke tiga lokasi untuk Konsert Aina Abdul Imaji Tour termasuk di Sarawak, Kedah dan Kuala Lumpur bermula Disember sehingga Januari tahun depan.

Tiga lokasi tersebut adalah Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Disember, Zepp Kuala Lumpur (27 Disember) dan Universiti Malaysia, Kedah (11 Januari 2025).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain