KETIADAAN arwah suami iaitu komposer Johan Nawawi membuatkan penyanyi Datuk Nora Ariffin berasa tidak lengkap untuk mengadakan konsert solo yang bakal berlangsung pada Disember depan. Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 52, berkata setiap kali membuat latihan menyanyikan lagu-lagu ciptaan arwah, dia akan sebak dan tersentuh mengingati perjalanan karier muziknya bersama Johan. "Memanglah rasa tak lengkap kerana tiada dia (arwah Johan) tapi saya tahu kalau dia masih ada mesti dia gembira kerana ini akhirnya saya dapat merealisasikan impiannya untuk membuat konsert. Nora teruja bakal menganjurkan konsert solo tidak lama lagi. "Bila saya berlatih menyanyi lagu-lagu untuk konsert ini, memang emosional sangat kerana setiap lagu yang saya nyanyikan itu semuanya bersangkut paut dengannya. "Lirik lagu ciptaannya, produksi semuanya dikendalikan olehnya. Saya berharap kalau abang (panggilan arwah) ada kan best," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Nora memberitahu kerjaya muziknya banyak dibantu oleh Johan dan tanpa arwah sudah tentu dia tidak mampu menempa kejayaan dalam industri hiburan tempatan. ARTIKEL BERKAITAN: Suami Nora, Johan Nawawi Meninggal Dunia ARTIKEL BERKAITAN: Johan Nawawi Sempat Susun Pelan Syarikat Sebelum Meninggal Dunia Menerusi konsert yang bakal berlangsung, Nora mengadakan satu segmen tribute untuk Johan bagi menghargai karya yang pernah dihasilkan. "Tapi tak mengapalah, saya akan mengadakan satu segmen tribute untuk Johan Nawawi setidaknya untuk menghargai jasa-jasanya. "Memang saya tahu, kalau orang sebut fasal lagu-lagu saya, tak wujud muzik Nora tanpa Johan. Saya merupakan hasil daripada didikan dia. Bila saya berlatih menyanyi lagu-lagu untuk konsert ini, memang emosional sangat. DATUK NORA ARIFFIN PENYANYI "Walaupun dia tak ada tapi kawan-kawannya masih ada dan anak-anaknya bersama saya juga masih ada. Satu hari nanti saya pun tiada juga, jadi biarlah saya meninggalkan satu momen yang memberi kenangan kepada semua," ujarnya. Bercerita tentang konsert Hanya Satu: Nora Ariffin, Nora meluahkan rasa teruja apabila selepas 30 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan dia akhirnya bakal menganjurkan sebuah konsert solo. Kata Nora, sejak dulu lagi arwah Johan berusaha untuk membantunya menganjurkan konsert namun rezeki belum memihak kepada mereka. "Sudah lama saya menunggu momen ini (konsert). 30 tahun saya menunggu saat ini, daripada album pertama saya. Arwah Johan selalu cakap saya mesti buat konsert. "Tapi selama perjalanan saya hampir 30 tahun itu belum ada rezeki. Setiap proposal yang dihantar tak pernah sangkut. Dulu kekangan buat konsert itu lain. Konsert Hanya Satu: Nora Ariffin bakal berlangsung pada 18 Disember depan. "Sampailah lima tahun sebelum arwah suami meninggal dunia, dia buat proposal lagi untuk Istana Budaya tetapi tiada rezeki juga. Kalau tak silap saya tahun terakhir arwah cuba lagi tetapi syarat yang dikenakan kami harus dapatkan penaja sendiri," katanya. Konsert Hanya Satu: Nora Ariffin bakal berlangsung di Stage 1 Theatre PJ Pac, 1 Utama pada 18 Disember, pukul 8.30 malam. Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu dan banyak lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!