suria

“Saya tak pernah jatuhkan hukum kepada Abang Bas”… Uyaina Arshad hanya mahu beri kesedaran, bukan ‘terpaling tahu’

Perkongsian Uyaina (kanan) berkenaan isu Abang Bas menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.

PELAKON dan pengacara Uyaina Arshad tidak ambil pusing dengan tindakan segelintir netizen mengecam perkongsiannya mengenai kesedaran isu gangguan seksual terutama melibatkan kanak-kanak.

Dalam hal ini, Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, berkata dia tidak peduli jika dirinya dicemuh atau dikritik kerana sudah lali dengan semua itu.

Malah, dia akan terus mendidik masyarakat mengenai isu tersebut terutama selepas tular mengenai Abang Bas.

uyaina 2

Uyaina tenang apabila mendapat kritikan ramai.

“Saya rasa ini adalah cabaran untuk beri pendidikan kepada masyarakat. Bukan nak kata sebab saya ada latar belakang dalam bidang undang-undang.

“Benda ini tak perlu menjadi seorang peguam pun untuk cakap atau suarakan. Benda ini hanya perlu pakai otak. Itu sahaja.

“Lagipun isu ini sudah ada akta. Apa yang Abang Bas lakukan itu adalah salah menurut akta. Jadi siapa saya untuk cakap sesuka hati sahaja?" katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Uyaina Arshad kekal tenang, tak melatah netizen petik nama bakal disaman ‘Abang Bas’

ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin Abang Bas berniat baik”... Uyaina Arshad tak setuju kanak-kanak jadi ‘content’ media sosial, bimbang terdedah jenayah

Uyaina berkata perkara itu semasa ditemui pada majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36 di Courtyard By Marriot, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ditanya mengenai tindakan netizen yang sanggup menderma untuk membayar ikat jamin Abang Bas, Uyaina berkata setiap individu berhak mendapat pembelaan selagi sebelum disabitkan bersalah.

“Ini adalah hak undang-undang untuk semua orang. Tak kiralah siapa. Alhamdulillah, ada peguam yang secara sukarela ambil kes tersebut, ada yang nak membela dia.

Itu adalah tugas mahkamah. Saya di sini adalah untuk menyebarkan kesedaran

UYAINA ARSHAD

PENGACARA/PELAKON

“Itu adalah hak asasi semua orang. Semua orang harus diberi peluang untuk membela diri sendiri. Saya pun tak pernah jatuhkan hukuman kepada Abang Bas.

“Itu adalah tugas mahkamah. Saya di sini adalah untuk menyebarkan kesedaran,” ujarnya.

Dalam masa sama, aktres itu juga tidak berkecil hati apabila ada individu menggelarnya sebagai ‘paling tahu’ dalam semua perkara.

uyaina 3

Sebagai selebriti, Uyaina mahu beri kesedaran kepada orang ramai.

Katanya, keadaan itu sudah menjadi lumrah bagi kehidupan seorang selebriti dan perkara itu sedikit pun tidak menggugat dirinya daripada terus mengeluarkan pendapat.

“Saya cakap berdasarkan fakta. Nak cakap saya ‘terpaling’ pun terpulang. Saya hanya mampu sebarkan kesedaran sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, Uyaina meluahkan rasa kecewa dengan tindakan seorang pemandu bas yang merakam video pelajar sekolah.

Menurutnya, perbuatan tersebut dilihat boleh menyumbang kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.

Untuk rekod, ‘Abang Bas' telah didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan pada Rabu lalu dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000.

Keluarga pemandu bas sekolah itu juga dilaporkan berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain