suria

Ridzuan Ridzokumura pernah kerja ladang sawit, terhutang budi dengan keluarga mentua penggerak bisnes salon... Zarina Zainuddin bantu bawa artis

Ridz berjaya membuka salon lepas berkahwin dengan Akiko (kiri).

GAYA bersahaja dengan loghat Perak yang pekat ketika membuat video di laman sosial cukup membuatkan ramai terhibur dengan pendandan rambut dan usahawan Ridzuan Ridzokumura.

Namun di sebalik kelincahannya di media sosial, ada pelbagai kisah meruntun jiwa tentang Ridzuan yang cukup terkenal sebagai pendandan rambut ramai selebriti tempatan.

Kehebatannya menggayakan rambut membuatkan Ridzuan atau Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 49, menjadi pilihan utama nama besar industri hiburan sehingga dia menjadi buruan pelanggan yang inginkan sentuhannya.

Ridz tidak lupa untuk berkongsi rezeki dengan keluarga selepas berjaya dalam perniagaan.

Ridz tidak lupa untuk berkongsi rezeki dengan keluarga selepas berjaya dalam perniagaan.

Tidak pernah menamatkan persekolahan kerana terpaksa membantu keluarga, Ridzuan pernah berdepan pelbagai kepayahan hidup yang membentuk dirinya hari ini.

Malah kesusahan dialami itu juga faktor dia bergelar usahawan disegani hari ini dengan memiliki tiga buah salon di Subang Jaya, Hotel Concorde Kuala Lumpur dah Johor Bahru.

Cerita Ridzuan, hidupnya juga berubah selepas bertemu jodoh dengan isterinya iaitu Akiko Okumura yang juga seorang warganegara Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa bersalah kongsi video Fathia solat sehingga dikecam - Pendandan rambut

ARTIKEL BERKAITAN: Madammu minta angkat kaki kalau kena tanggung 'biawak hidup', wanita perlu ada harga diri

Ikuti temu bual bersama Ridzuan tentang perjalanan kehidupannya dan bagaimana dia menjadikan jenama Ridzokumura antara terkenal di negara ini.

1. Kongsikan sedikit latar belakang tentang Ridz yang mungkin orang di luar sana tidak tahu.

Saya sebenarnya berasal dari keluarga susah. Pekerjaan pertama saya lakukan adalah menanam pokok kelapa sawit pada usia 15 tahun. Selepas itu saya kerja kilang anak patung. Gaji RM208 sahaja sebulan.

Keluarga kami pernah melalui fasa susah sehingga kami hanya makan nasi dengan air garam. Saya ada 10 adik-beradik dan saya anak yang kesembilan.

Seawal usia 15 tahun saya berhenti sekolah kerana mahu mencari wang untuk membantu keluarga.

Duit gaji yang saya dapat semuanya saya beri kepada ibu. Saya rasa itulah asbab rezeki saya dimurahkan kerana bantu ibu bapa.

ridzz - 1

Ridz pernah hidup susah sebelum bergelar usahawan.

2. Bagaimana Ridz boleh memulakan perniagaan, siapakah mendorong untuk Ridz mengubah kehidupan.

Kehidupan saya mula berubah sedikit demi sedikit apabila Zarina ajak saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Dulu Zarina pernah membuka salon dan saya tolongnya di salon tersebut. Tapi salon dia hanya bertahan sekitar tiga hingga empat tahun sahaja.

Selepas itu saya bekerja di hotel sebagai housekeeping selama dua tahun. Kemudian saya berkenalan dengan isteri saya dan pada ketika itu saya sudah dinaikkan pangkat menjadi penyambut tetamu hotel.

Tak lama berkenalan, kami terus berkahwin. Rezeki saya rupanya keluarga mentua saya orang senang. Dia kata saya tidak boleh bekerja di hotel untuk menyara anaknya dan memberikan modal untuk saya memulakan perniagaan.

Dia tanya saya mahu buka bisnes apa, saya fikir-fikir balik pernah bekerja di salon jadi saya ambil keputusan untuk membuka perniagaan salon.

Selepas bernikah dengan Akiko, hidup Ridz bertukar 180 darjah.

Selepas bernikah dengan Akiko, kehidupan Ridz mula berubah.

3. Kenangan ketika mula-mula berniaga sehingga salon milik Ridz mula dikenali ramai.

Namun perniagaan saya tidak semudah itu untuk berjaya. Dua tahun saya berusaha gigih untuk memperkenalkan salon saya kepada pelanggan.

Saya ingat lagi zaman tiada media sosial, saya edarkan 5,000 risalah iklan tetapi hanya seorang sahaja yang telefon kami untuk datang ke salon.

Itu pun saya dah teruja sangat. Tapi saya tunggu sampai pukul 11 malam di salon, pelanggan itu tidak muncul pun.

Saya tidak mengeluh kerana itu semua adalah satu pengalaman buat saya. Selepas itu perniagaan saya banyak dibantu oleh Zarina kerana dia membawa rakan-rakan artis untuk mendandan rambut di salon saya.

Mereka turut membantu dalam kerja-kerja promosi dan sedikit demi sedikit salon saya mula dikenali ramai.

Antara artis yang selalu ke salon saya termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nabila Huda, Ziana Zain, Nora Danish dan ramai lagi. Boleh dikatakan 90 peratus artis di Malaysia buat rambut di salon saya.

4. Cabaran paling sukar yang pernah dilalui sepanjang bergelar usahawan.

Cabaran paling hebat pernah saya lalui sepanjang berniaga adalah sewaktu PKP. Sejujurnya rasa macam nak gantung diri sebab saya tetap kena bayar gaji pekerja. Bisnes tak jalan, kita tak ada duit. Waktu itu saya tiada perniagaan online.

Jadi saya korek duit simpanan untuk bayar gaji pekerja. Sampailah kawan saya ajak buat produk rambut dan promosikan di TikTok.

Pertama kali berniaga memang jualan 'meletop'. Jadi saya nasihatkan kepada orang luar sana, duduk di rumah pun kita boleh buat duit. Kalau produk kita bagus, memang orang akan cari.

Nourul Depp (kiri) dan Raja Ilya (kanan) antara rakan artis yang memberikan sokongan.

Nourul Depp (kiri) dan Raja Ilya (kanan) antara rakan artis yang memberikan sokongan.

5. Tip untuk kekal merendah diri meskipun kini bergelar usahawan berjaya.

Hidup saya berubah sekelip mata. Saya merasakan diri saya seperti Cinderella Man. Satu sahaja yang saya pegang, bila saya senang pertama sekali saya akan utamakan keluarga sendiri terlebih dulu.

Apabila saya tolong keluarga, lagi rezeki saya mencurah-curah. Bukan sahaja adik-beradik, anak-anak mereka pun saya tolong sampai sekarang. Di luar pun saya ada bantu orang tetapi saya tidak berkongsi.

Saya terharu apabila dapat membina rumah untuk keluarga, belikan kereta. Alhamdulillah saya ada rezeki yang boleh membantu keluarga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain