suria

10 tahun peluk Islam, suami Lana Nodin tunjuk banyak perubahan... Jaga solat dan mampu didik anak ilmu agama

Lana berkongsi cerita tentang perubahan yang dilalui oleh suaminya, Daud (kiri).

SELEPAS 10 tahun memeluk Islam, pelakon Lana Nodin melihat banyak perubahan terhadap suaminya iaitu Mohd Daud McKienzie dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Lana atau Mazlina Hasan Nodin, 46, berkata, suaminya kini sudah boleh mendidik anak-anak mereka dengan ilmu agama khususnya dalam menjaga solat.

Kata Lana, Daud juga banyak bertanya tentang ilmu agama dan semakin mudah untuk mendirikan solat lima waktu.

lana2 - 1

Lana mengakui bukan mudah untuk membimbing suami mendalami ilmu agama.

"Dia banyak bertanya, dia bukanlah liberal. Maksudnya kalau dia nak terangkan tentang sesuatu perkara dia akan memahami terlebih dahulu terutama jika disoal oleh anak-anak.

"Sekarang dia dah tahu bagaimana nak mendidik anak-anak tentang perkara asas dalam Islam kerana anak-anak juga sering bertanya. Dia pun sudah solat lima waktu dan anak-anak pun sering bertanya kalau tak solat.

"Kalau dulu saya yang akan jawab tapi sekarang saya nak dia jawab sendiri. Alhamdulillah, nampak perubahan daripada susah nak solat, sekarang senang nak solat. Dia jenisnya sangat menepati masa kalau solat Jumaat," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Wanita zaman sekarang terlalu murah" - Lana Nodin tengah sakit pun terkesan baca kontroversi Aliff Aziz

ARTIKEL BERKAITAN: 4 hari tak boleh bangun, Lana Nodin dikejarkan ke hospital akibat bengkak usus

Lana berkongsi perkara itu ketika ditemui di pelancaran produk Noir X RO yang diadakan di Ampang Glasshouse, Ampang pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Lana memberitahu latar belakang Daud yang pernah menetap di negara majoriti beragama Islam banyak membantunya dalam mendalami ilmu agama.

Menurut Lana, Daud pernah menetap di Abu Dhabi selama tujuh tahun dan mempunyai ramai kenalan Muslim.

Alhamdulillah, nampak perubahan daripada susah nak solat, sekarang senang nak solat.

LANA NODIN

PELAKON

"Dulu David pernah menetap di Abu Dhabi Dhabi selama tujuh tahun dan ramai kenalannya orang Arab, jadi apabila dia peluk Islam sangat mudah.

"Contohnya puasa, dia pun pernah berpuasa sebelum ini sebab dia atlet jadi dia kata puasa tu bagus. Saya kenalkan Islam padanya dengan cara yang mudah," ujarnya.

Pelakon drama Kekasih Hati Mr Bodyguard ini bagaimanapun mengakui tidak mudah baginya untuk menggalas tanggungjawab dalam memimpin suami mempratikkan ajaran Islam.

Lana memberitahu dia telah melantik seorang ustaz dan ustazah untuk mengajar ilmu agama kepada keluarganya pada hujung minggu.

lana1 - 1

Lana gembira melihat suami dan anak-anak mendalami ilmu agama.

"Cabaran untuk saya untuk membimbing sebab kadang kala ada perkara yang kita sendiri tak tahu.

"Setiap Ahad akan ada ustaz dan ustazah yang datang mengajar kami," katanya.

Untuk rekod, Lana mendirikan rumah tangga dengan Daud pada 15 Mei 2015 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Gia Quinn Mckienzie, 8, dan William Daud Mckienzie, 5 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain