SELAMA lebih tiga dekad dalam industri muzik tanah air, nama komposer Saari Amri bukan lagi asing dalam kalangan peminat seni tanah air dengan karyanya yang cukup hebat dan malar segar. Sumbangan besar figura ini dalam menaikkan nama artis selain kehebatannya dalam industri muzik negara melayakkan dia untuk menerima pelbagai anugerah termasuk pengiktirafan yang mungkin memberi gelaran berpangkat buatnya. Biarpun pernah menerima tawaran sebegitu, Saari atau Saari Jusoh, 58, ada alasan sendiri untuk tidak bermegah dengan gelaran 'Datuk' atau seumpamanya. Menurut Saari, dia pernah beberapa kali dihubungi pihak istana yang berhasrat mengurniakan gelaran kepadanya namun hasrat itu ditolak dengan baik. Pengiktirafan dalam muzik cukup memberi kepuasan buat Saari. "Bukan tidak pernah, malah saya ada mendapat panggilan pihak istana untuk memberikan pingat dan gelaran. Saya tidak mahu dan katakan tidak perlu. "Saya takut diri sendiri akan berubah. Melihat rakan-rakan yang mendapat gelaran, ramai yang mula berubah. Karakter tidak lagi sama. Bila dapat gelaran dah tak boleh lepak mamak. "Cukuplah saya sebagai seorang komposer seperti sekarang ini," katanya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Saari Amri anggap Hattan tak perlu mohon maaf, calar imej sebagai penyanyi senior ARTIKEL BERKAITAN: 'Industri Muzik Tempatan Semakin Tenat' - Saari Amri Senang berbual dan berkongsi pengalaman lalu, Saari juga memberitahu dia juga pernah ditawarkan bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat rakaman di Indonesia sekitar tahun 1996. Memikirkan pulangan dan peluang tersebut, pastinya ia dapat menjanjikan sesuatu yang besar buat kerjaya sebagai seorang komposer. Namun Saari memilih untuk berkata tidak dan mahu terus memberikan sumbangan dalam industri muzik tempatan. Cukuplah saya sebagai seorang komposer seperti sekarang ini SAARI AMRI KOMPOSER "Kalau dikutkan pasaran sana lebih besar tetapi ketika itu ibu saya tidak benarkan. Takut 'hanyut' jika saya mencipta nama di sana. "Penyanyi dan penggiat muzik di sana boleh hidup senang jika mereka benar-benar berjaya," kongsinya. Biarpun begitu, karya-karya ciptaan Saari berjaya menembus pasaran luar sehingga penggemar muzik mula mengenali namanya. Pelbagai kejayaan dalam muzik pernah dicapai Saari. Bahkan sehingga kini ada dalam kalangan artis muda Indonesia yang masih mahu mendapatkan khidmatnya untuk menciptakan lagu baharu. "Sekarang ini banyak lagu lama yang dimainkan semula di pelbagai medium media sosial. Ada juga yang cover semula lagu-lagu lama. Syukur mendapat sambutan dan dapat sedikit bayaran royalti. "Tak sangka lagu-lagu sama masih mendapat sambutan sehingga hari ini," ujarnya. Saari masih aktif menghasilkan karya baharu. Imbas kembali karya-karya hebat Saari, antara lagu popular yang pernah dicipta termasuk Madah Berhelah dan Kemelut Di Muara Kasih (Zian Zain), Kembali Terjalin dan Kembali Merindu (Slam), Pelamin Anganku Musnah (Azie), Ramalanku Benar Belaka (Umbrella) selain berjaya mempopularkan kumpulan Ukays serta banyak lagi. Terbaharu Saari bekerjasama dengan penyanyi Indonesia Jovita Pearl menerusi lagu berjudul Sayang Selamanya yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu. "Sebanarnya saya masih aktif membuat lagu meskipun agak sedikit perlahan. Ada penyanyi baru Indonesia datang dan minta lagu sebab dia kenal saya. Katanya lagu saya popular di sana," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!