CEF selebriti Datuk Redzuan meluahkan rasa kurang senang apabila ada pihak cuba membandingkan pencapaiannya dengan selebriti media sosial iaitu Khairul Aming. Redzuan atau mesra disapa Chef Wan, 66, berkata tiada keperluan untuk membuat perbandingan tersebut memandangkan mereka berdua datang daripada latar belakang berbeza. "Buat apa kita nak banding-bandingkan pengalaman dan pencapaian masing-masing. Buang masa! Cef Wan mengulas perkara itu menerusi hantaran di Instagram. "Kenapa nak banding sedangkan kami mempunyai kerjaya dan pengalaman yang berbeza, untuk apa segala perbandingan?" katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin. Berserta kapsyen tersebut, Chef Wan memuat naik video ulasan milik pempengaruh media sosial iaitu Thaqibshaker mengenai perkara itu. Sebelum ini, ada pihak membanding-bandingkan pencapaian dan kemampuan memasak Chef Wan dan Khairul selepas pempengaruh itu menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. Dalam pada itu, Chef Wan menjelaskan dia langsung tidak tersinggung sekiranya pengalaman dan sumbangannya selama lebih tiga dekad dipandang sepi masyarakat. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas sarapan semeja, Khairul Aming dapat pula surat penghargaan rasmi PM New Zealand... Netizen kata layak dapat ‘Datuk’ ARTIKEL BERKAITAN: Traveloka guna sentuhan Chef Wan bantu promosi hidangan sebenar Malaysia dan antarabangsa Menyedari waktunya menyinar sudah lama berakhir, Chef Wan berkata dia kini mahu fokus menikmati hari tua dan menguruskan perniagaan. "Selepas 34 tahun kerjaya saya di TV dan sumbangan saya kepada negara, jika mereka tak nampak pun... tak berkudis badan saya. "Ingat, kita semua ada momen sediri dalam kehidupan, saya pula sudah jauh perjalanan hidup dan luas pandangan. "Atuk dah pencen nak! Saya selesa dengan keadaan saya dan nikmati hari pencen saya," jelasnya. Cef Wan hanya fokus menikmati hari tua. Sementara itu, Chef Wan menegaskan dia sama sekali tidak berasa iri hati mahupun dengki dengan kejayaan Khairul. Malah sebagai rakyat Malaysia, dia turut berbangga melihat pencapaian pempengaruh berkenaan. "Jika orang berjaya pun kita iringi dengan doa yang baik-baik untuk mereka. "Beliau juga menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan buat saya dan seluruh rakyat Malaysia," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!