suria

Sarimah Ibrahim mesej isteri Zamarul Hisham sebelum mula berlakon, tak mahu rasa kekok di set

Sarimah diberi kepercayaan membawa watak seorang isteri yang dicurangi.

PERTAMA kali bergandingan bersama Zamarul Hisham, pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim memberitahu dia terlebih dahulu menghubungi isteri aktor berkenaan sebelum memulakan penggambaran drama berjudul Ternyata Sebuah Bahagia.

Kata Sarimah, 46, tindakan itu dilakukan kerana enggan timbul rasa kekok antara dia dan juga Zamarul ketika melakonkan sebarang babak suami isteri.

Malah dia juga tidak mahu wujud salah faham antara isteri Zamarul iaitu pelakon Diana Rafar ketika menonton drama itu nanti.

sarimah 2

Sarimah dan Zamarul mudah cipta keserasian di lokasi.

"Sebelum mula penggambaran saya dah mesej Diana dahulu dan maklumkan kepada dia saya akan berlakon dengan suaminya. Saya perlu buat untuk tahu dia okey atau tidak.

"Itu perkara yang perlu saya lakukan, untuk beritahu kepada pasangan masing-masing supaya di set rasa lebih bebas dan tidak kekok," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena ‘Lelaki Itu’ lonjak kembali nama, Sarimah Ibrahim tak pernah hilang

ARTIKEL BERKAITAN: Sarimah Ibrahim tak senang tengok pengacara sibuk cakap hal peribadi sampai tenggelam bakat bertanding atas pentas

Sarimah ditemui ketika majlis tayangan dan sidang media drama berkenaan yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Isnin.

Menyifatkan Zamarul sebagai seorang pelakon yang cukup hebat, Sarimah juga tiada masalah untuk melakukan babak berat termasuk bermain dengan emosi menjadi isteri yang dicurangi.

Malah kedua-dua mereka juga cukup profesional dan tidak terbawa-bawa keserasian di luar set penggambaran.

Saya juga sentiasa ingatkan diri watak itu hanyalah rekaan semata-mata

CHE PUAN SARIMAH IBRAHIM

PELAKON

"Hari pertama di lokasi kami sudah melakonkan babak berat. Bila kami saling berpandangan, dua-dua menangis. Mungkin sebab kematangan memudahkan kami membawakan watak tersebut. Tengok mata sahaja dia tahu apa yang saya fikirkan.

"Tetapi chemistry kami hanyaa dalam babak sahaja. Sebab itu kena ada batas terutama bila adegan berpegangan. Kena tahu masing-masing sudah ada pasangan. Saya juga sentiasa ingatkan diri watak itu hanyalah rekaan semata-mata," ujarnya.

Selain Sarimah dan Zamarul, drama ini turut membariskan pelakon lain seperti Datin Elvina Mohamad, Lorenzo Irmann, Myra Afrina, Kenji Sawahi dan Azah Aziz.

sarimah 3

Sarimah siapkan diri sebelum kembali berlakon filem.

Drama arahan Nur Ain Sharif dan Ejump Mohd ini mula bersiaran di saluran Astro Ria pada Isnin.

Sementara itu bercakap tentang perkembangan kerjaya, Sarimah melihat penglibatan dalam drama ini juga sebagai persediaan untuk dia kembali aktif berlakon filem selepas sekian lama menyepi sebelum ini.

Baginya berada dalam produksi drama menjadi medan terbaik untuk dia menggilap semula bakat lakonan selepas hampir lima tahun tidak berlakon sebelum ini.

"Selepas ini saya akan masuk ke set penggambaran filem. Saya tidak mahu orang kata ambil jalan mudah selepas sekian lama rehat. Jadi saya terima tawaran drama untuk belajar semula tentang penggambaran.

"Syukur saya dapat tiga tawaran filem, tetapi terpaksa tolak satu disebabkan kekangan masa. Sekarang saya ada keyakinan untuk kembali berlakon filem," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain