VOKALIS kumpulan Rabbani iaitu Asri Ubaidullah mendedahkan dia pernah menjadi pelajar di bawah gerakan Darul Al-Arqam yang dikenali sebagai NadaMurni sekitar tahun 80-an. Kata Asri, perkara itu bagaimanapun sudah lama berlalu dan kini tidak lagi mempunyai kaitan dengan gerakan tersebut sejak diharamkan kira-kira 30 tahun lalu. "Kami terus terang bahawa kami dulu merupakan pelajar gerakan Darul Al-Arqam di bawah nama kumpulan NadaMurni tetapi apa yang sudah berlaku biarlah berlalu. "Selepas Al-Arqam diharamkan 30 tahun yang lalu, kami berpecah dan duduk dengan masyarakat," katanya kepada mStar. Asri berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert 5 Rukun 2.0. Asri berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert 5 Rukun 2.0 yang diadakan RCDBig Studio, Plaza Alam Sentral Shah Alam yang diadakan pada Selasa. Dalam pada itu, Asri memberitahu lagu-lagu yang dihasilkan oleh kumpulan NadaMurni tidak bercanggah dengan syariat Islam sebaliknya hanya menyelitkan tentang perkara asas agama. Malah, mereka tidak pernah menyentuh sebarang unsur disifatkan 'ajaran sesat' kerana bimbang perkara itu merosakkan jiwa masyarakat. "Lagu-lagu yang dihasilkan NadaMurni juga mempunyai mesej yang baik seperti sifat-sifat Allah dan sifat-sifat rasul. Itu adalah asas yang kita wajib tahu jadi itu adalah lagu-lagu yang dihasilkan kami dan masih diteruskan hingga ke hari ini. ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam ‘back up’ GISB, Betty Banafe minta jangan cepat buruk sangka ARTIKEL BERKAITAN: Ramai artis menyanyi lagu ketuhanan, Rabbani pesan jaga tingkah laku... Faham lirik, bukan hanya nak kaut untung "Tak ada pun kami selitkan doktrin-doktrin yang bukan-bukan kerana kami sendiri pun takut. "Kami takut kalau perkara itu boleh merosakkan akidah diri sendiri dan masyarakat. Jadi, tak akanlah kami nak rosakkan diri kami dan masyarakat," ujarnya. Selepas meninggalkan kumpulan berkenaan, Asri memberitahu mereka perlu menyertai program pemulihan akidah yang dipantau oleh pihak berkuasa dan keselamatan. Malah, Asri turut menitipkan pesanan kepada masyarakat agar menuntut ilmu agama dengan guru yang betul bagi memastikan akidah mereka tidak terpesong. Selepas Al-Arqam diharamkan 30 tahun yang lalu, kami berpecah. ASRI UBAIDULLAH VOKALIS RABBANI "Kami dipantau pihak keselamatan dan perlu sertai program pemulihan akidah. "Melalui pemantauan itu, kami mula sedar bahawa kami ini (sebagai kumpulan nasyid) adalah milik masyarakat di mana mereka perlukan kami untuk berkongsi bermacam-macam perkara. "Nasihat saya adalah kita perlu belajar dengan guru yang ramai serta guru yang betul. Kalau kita tak belajar dengan guru yang betul itu yang akan membuatkan kita terpesong dan tersilap. Carilah guru yang ramai dan yang betul, insya-Allah jalan kita betul," jelasnya. Sementara itu, ketua kumpulan Rabbani iaitu Azadan yang mengakui turut pernah menjadi pelajar di Al-Arqam memberitahu gerakan tersebut dahulu jauh berbeza dengan ajaran dan tindakan yang dilakukan Global Ikhwan Sdn. Bhd (GISBH). Azadan menjelaskan ajaran gerakan terdahulu jauh berbeza. "Apa yang berlaku dalam al-Arqam dulu 80 hingga 90 peratus tidak sama dengan apa yang berlaku dalam GISBH ketika ini. "Dulu banyak sangat kebaikan dan pada peringkat awal itu okay saja. Dari segi pengajiannya, ekonominya memang okay," katanya. Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa ahli kumpulan nasyid terkenal yang pernah menyertai kumpulan NadaMurni di bawah Darul Al-Arqam sebelum gerakan itu diharamkan 30 tahun lalu. Selepas pengharaman gerakan itu, ahli kumpulan ini kemudiannya berpecah dan menyertai kumpulan Nasyid terkenal Malaysia seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube