PERNAH merasai kehilangan haiwan peliharaan membuatkan pelakon Siti Khadijah tidak mahu lagi memelihara kucing kerana bimbang detik sedih itu berulang kembali. Berkongsi pengalamannya itu, Siti atau Siti Khadijah Halim, 27, berkata dia tidak mampu menahan sebak apabila melihat haiwan peliharaannya pergi buat selamanya di depan mata. "Pertama kali saya lihat kucing pergi depan mata. Kalau boleh waktu itu saya mahu jadi hati kering tak nak rasa apa-apa. Itu baru haiwan peliharaan, belum lagi kita kehilangan orang tersayang. "Sejak itu saya tutup hati saya untuk sayang atau dekat dengan mana-mana kucing. Walaupun suka, saya takut sakit lagi. Saya tidak dapat mengawal perasaan itu. Siti tidak sanggup merasa kehilangan sekali lagi. "Jaga haiwan peliharaan anda okay, saya doakan haiwan anda semua panjang umur dan tidak akan sakit," katanya. Siti berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya. Dalam pada itu, Siti mengimbau kembali pengalaman pertama mempunyai haiwan peliharaan selepas tamat persekolahan yang dinamakan sebagai Lilo and Stitch. ARTIKEL BERKAITAN: Bergambar dengan anjing, Siti Khadijah mahu sebar kesedaran penganiayaan terhadap haiwan ARTIKEL BERKAITAN: Siti Khadijah harap bertemu lelaki baik, minta Aniq Suhair doakan di Makkah Pelakon drama From Saga With Love 2 itu bagaimanapun berkata kucing kesayangannya itu akhirnya mati akibat terkena jangkitan virus. "Selepas habis sekolah saya ada bela kucing juga. Lepas pujuk ibu bapa, saya dapat jaga Lilo and Stitch (nama kucing). "Bila Tuhan beri, bila-bila Dia boleh ambil semula. Saya sayang gila dekat kucing saya tetap ia tetap pergi (mati) kerana serangan virus," ujarnya. Sebelum itu, Siti berkata dia pernah menyelamatkan kucing jalanan yang mengalami kecederaan teruk. Siti mengakui bukan mudah untuk melihat kucing kesayangan pergi untuk selamanya. Kata Siti, disebabkan tidak mampu untuk menghantar kucing yang dinamakan Belang itu ke klinik haiwan, dia mengambil insiatif sendiri untuk merawatnya. "Jadi apa yang saya buat ini agak kelakar, saya bacakan Belang surah Yasin dan segala doa yang saya tahu. Air Yasin yang dibaca di sekolah pada hari Jumaat saya bagi Belang minum, air zam zam juga kemudian saya selawat sapu dengan minyak gamat. "Saya berikan sepenuh perhatian kepada Belang, siang dan malam saya cari dia, beri tempat berteduh di belakang rumah. "Saya lakukan semua itu sehinggalah Belang sihat dan boleh berlari semula. Apa yang saya ingin sampaikan adalah kasih sayang boleh memberikan kesembuhan, " katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!