PELAKON dan pelawak Bell Ngasri menggelabah apabila melihat namanya berada dalam senarai individu mahu disaman aktor Datuk Rosyam Nor. Bell atau Nasrizal Ngasri, 44, berkata, disebabkan itu juga dia terus memuat naik penjelasan profil berkenaan bukan miliknya tetapi akaun palsu menggunakan namanya. "Kecoh Rosyam buat laporan polis dan tiba-tiba ada nama saya. Bila pula saya bercerita tentang hal orang? Rupanya fan page akaun palsu. Bell bukan individu yang memfitnah Rosyam. "Jadi bila Rosyam nak saman, saya jadi risau sebab saya ini penakut sikit... Terus saya muat naik penjelasan di Instagram buat klarifikasi akaun itu bukan saya," katanya kepada mStar. Berkongsi lanjut, Bell menarik nafas lega selepas Rosyam memberitahu tahu bukan dia di sebalik akaun tersebut sebaliknya ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama artis demi kepentingan sendiri. "Alhamdulillah rupanya dia memang dah tahu itu kerja orang lain. "Tapi yang menggelupur saya seorang, fasal benda itu ramai pula guna nama artis untuk buat fan page dan terbitkan cerita mengarut yang ada unsur fitnah," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Rosyam Nor selesai buat laporan polis, Bell Ngasri nafi terlibat sebar fitnah ARTIKEL BERKAITAN: Seorang wanita kaitkan Rosyam Nor kononnya pernah tegur Fattah Amin sebelum kahwin bakal diseret ke mahkamah - “Saya akan buat laporan polis” Ditanya adakah Bell akan mengambil tindakan seperti Rosyam, dia memberitahu dia tidak tahu apa langkah yang seharusnya dibuat. Ini kerana dia pernah menegur akaun palsu yang menyebarkan berita fitnah namun tidak mendapat sebarang respon. "Saya bukan tak nak ambil tindakan, saya tak tahu nak buat apa. "Sebenarnya saya dah pernah tegur jangan guna nama sebab bahaya tapi tiada apa-apa tindak balas. Jadi bila Rosyam nak saman, saya jadi risau sebab saya ini penakut sikit. BELL NGASRI PELAKON DAN PELAWAK "Tapi tidaklah terfikir sampai nak buat laporan polis walaupun sekarang makin dipijak pula bila berdiam diri," jelasnya. Pada Khamis lalu, Rosyam selesai membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya difitnah di laman sosial. Menerusi hantaran yang dibuat, apa yang menarik perhatian adalah sebuah akaun Facebook atas nama Bell Ngasri. Namun Bell segera tampil menjelaskan kekeliruan tersebut dengan berkata akaun itu tidak sah dan sekadar menggunakan namanya. Bell nafi dirinya memfitnah Rosyam berhubung kes Fattah. Sebelum itu seorang wanita memuat naik kenyataan berbaur fitnah kononnya Rosyam pernah menasihati pelakon Fattah Amin sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga. Selepas penceraian Fattah bersama pelakon Fazura pada 7 Oktober lalu, tular semula rakaman video podcast Rosyam yang membincangkan topik tentang seorang isteri akan mula memandang rendah terhadap suami jika mereka memiliki lebih kekayaan. Namun, dalam perbincangan itu, Rosyam tidak menganggap semua wanita berperangai begitu tetapi mendakwa kebanyakannya bersikap demikian. Topik itu tiada kena mengena dengan senario kisah artis yang terpalit isu rumah tangga sebaliknya sekadar lontaran secara umum. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!