suria

Dah labur hampir RM1 juta, duit sewa rumah syarikat dahulukan… Pengurusan anggap Hasif Upin tak bersyukur

Chua anggap kenyataan Hasif sebagai satu penganiayaan.

MENEPIS semua dakwaan yang dikeluarkan oleh Hasif Upin, pihak pengurusan Armani Entertainment menegaskan penyanyi itu membuat tuduhan palsu kononnya tidak dilayan dengan baik.

Pengarah Utusan syarikat berkenaan iaitu Datuk KK Chua menganggap Hasif sebagai artis baharu yang tidak tahu bersyukur kerana pihak pengurusan telah mengeluarkan pelaburan besar untuk kerjayanya.

Pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang atas kenyataan Hasif itu.

chua 2

Hasif (kiri) juga diberi peluang berlakon filem.

"Apa yang dia katakan tidak benar, dia menipu. Mana ada seorang artis baru, pihak pengurusan sanggup keluarkan enam lagu termasuk muzik video? Dia juga dapat berduet dengan Ziana Zain menerusi lagu Waktu.

"Saya sudah keluarkan wang hampir RM1 juta untuk dia. Dia tidak cukup duit sewa rumah, saya dahulukan. Dia pergi ke mana-mana saya bayar. Dia seorang artis baru yang tidak tahu bersyukur!

"Saya anggap apa dia katakan adalah satu penganiayaan terhadap kamo. Kami akan ambil tindakan undang-undang mengikut kontrak yang telah dia tanda tangan. Segala bukti saya ada," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dilayan macam ‘sampah’ Hasif Upin kecewa dengan syarikat pengurusan... Kali terakhir terima bayaran hanya RM600

ARTIKEL BERKAITAN: Hasif Upin hilang sabar, dedah rakan artis jaja cerita buruk

Chua mengulas perkara itu selepas Hasif meluahkan rasa kecewa kerana pihak pengurusan tidak memberi layanan baik dalam menguruskan kerjaya seni.

Malah menurut Hasif kali terakhir dia menerima bayaran adalah sekitar Jun lalu berjumlah RM600.

Menjawab perkara tersebut, Chua memberitahu bayaran diberikan adalah untuk tujuan bayaran bertemu peminat sempena tayangan filem Paku Tanah Jawa lakonan Hasif.

Dia seorang artis baru yang tidak tahu bersyukur!

DATUK KK CHUA

PENGARAH URUSAN ARMANI ENTERTAINMENT

"Nilai itu adalah untuk peminat. Saya dah beri peluang untuk dia berlakon walau tiada pengalaman. Dia dapat berlakon dengan nama-nama besar.

"Di pihak saya tiada bayaran tertunggak dan semuanya bayaran kerja telah dijelaskan," ujarnya.

Lebih membuatkan Chua marah, Hasif juga dikatakan mengambil tawaran kerja tanpa pengetahuan syarikat.

Namun begitu, pihak pengurusan masih dalam pertimbangan untuk menghasilkan lagu baharu buat Hasif.

hasif 1

Hasif dakwa tidak diberi layanan baik oleh pengurusan.

"Dia minta lagu baru dengan nama komposer pilihan sendiri. Tetapi dia buat ‘job’ lain tanpa pengetahuan syarikat. Macam mana saya nak melabur kalau hasil kerja dia masuk poket sendiri?

"Dalam kontrak sudah tertulis segala kerja adalah di bawah syarikat, tetapi dia menulis di media sosial (jika ada tawaran) untuk terus hubunginya. Itu semua bukan tawaran kerja daripada syarikat.

"Dia juga pinjam barang syarikat seperti telefon bimbit dan kamera. Semua itu tidak dipulangkan," jelasnya.

Chua juga menegaskan pihaknya bakal mengadakan sidang media bagi menjelaskan semua perkara ini berserta segala dokumen bagi membuktikan mereka berada di pihak yang benar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain