PERNAH melalui fasa sukar sehingga terpaksa menjual banyak harta miliknya, pengalaman melakukan persembahan jalanan atau busking di Bukit Bintang, Kuala Lumpur membuatkan penyanyi Zahid Baharuddin kembali bangkit. Merupakan juara program Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid atau Ahmad Zahid Baharuddin, 44, memberitahu ketika itu dia mengetepikan segala ego demi kelangsungan hidup. Katanya kegagalan dalam perkahwinan pertama juga memberi tamparan hebat sehingga membuatkan hidupnya ketika itu tidak terurus. "Masa itu (selepas bercerai) rasa ‘down’ yang sangat teruk. Saya tak tahu apa lagi nak buat dalam hidup. Ketika itu semua benda kena jual termasuk kereta dan rumah. Saya kena berpindah ke rumah lebih kecil sesuai dengan komitmen. Zahid timba banyak pengalaman ketika busking. "Dari situ saya busking. Itulah permulaan saya naik semula. Bila ada bertanya, saya hanya kata mahu cari pengalaman tanpa berkongsi situasi sebenar. "Awalnya memang rasa malu tetapi saya perlu teruskan hidup. Saya buang Zahid AF dan duduk menyanyi di tepi jalan. Seorang penyanyi yang dulu orang sanjung kini menyanyi busking," katanya kepada mStar. Zahid berkongsi kisah tersebut ketika ditemui di majlis sidang media program Famili Duo musim keempat (FD4) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Naqiu ada sebab kembali sertai pertandingan nyanyian, pasangan duet di Famili Duo 4 kekal rahsia ARTIKEL BERKAITAN: Individu tampil mohon maaf sebar fitnah, Rosyam Nor belum terfikir batal niat saman - “Sekarang saya masih marah” Zahid sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Sarah Julia Yusof pada 2013 namun bercerai selepas enam tahun bersama. Dia kemudian kembali berkahwin dengan Nurul Shuhada Osman pada Disember 2021. Tambah penyanyi ini, pengalaman itu juga membuatkan dia menghargai setiap hasil titik peluh selain tawaran kerja diterima. Dulu mungkin terlalu muda dan terleka ZAHID BAHARUDDIN PENYANYI "Ketika busking dapat RM30 satu malam saya amat hargai berbanding dulu pernah dapat RM30,000 hingga RM40,000 satu malam. "Daripada busking saya mula menyanyi di kelab. Apa sahaja tawaran yang datang saya ambil. Program lawak pun saya masuk. "Saya hargai setiap tawaran kerja. Apa sahaja saya akan buat dengan bersungguh-sungguh. Dulu mungkin terlalu muda dan terleka," ujarnya. Zahid bersama adiknya bersaing di pentas FD4. Bercakap mengenai penglibatan dalam FD4, Zahid memberitahu dia bakal bergandingan dengan adik perempuannya iaitu Anne bagi merebut gelaran juara. Kata Zahid, dia berharap pertandingan selama lapan minggu itu nanti bakal menjadi platform mengukuhkan karier nyanyiannya. Selain Zahid dan Anne, pasangan duo turut bertanding adalah Shiha & Ieda Zikir (adik-beradik), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Salam Asis & Ayie Ilham (sepupu) dan Didi Astillah & Yazmin Aziz (sepupu). Barisan peserta FD4. Manakala Naqiu pasangan duetnya masih dirahsiakan dan akan diumumkan pada minggu pertama konsert. Musim kali ini dikendalikan oleh gandingan selebriti Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program. Manakala kerusi juri akan diisi oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor. FD4 akan mula bersiaran di saluran TV3 pada 20 Oktober. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!