IMPIAN mendirikan rumah tangga bersama aktres Yasmin Hani terlebur apabila pelakon Alif Hadi mendedahkan hubungan mereka sudah berakhir dua bulan lalu. Bagaimanapun Alif atau Muhammad Alif Abdul Hadi, 36, enggan mendedahkan punca perpisahan mereka selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta. "Saya sudah kembali solo sejak dua bulan lalu iaitu sekitar Ogos. Kalau boleh memang tak mahu kongsi mengenai hal putus cinta ini kepada umum sebab tak elok untuk diuar-uarkan. "Tapi kalau sudah tiba waktunya orang tahu, akan tetap diketahui juga," katanya kepada mStar ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABPBH36) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam pada Jumaat lalu. Alif tidak mahu mendedahkan punca sebenar mereka putus cinta. Walaupun sudah tiada hubungan, Alif bagaimanapun memberitahu dia dan Yasmin masih mengekalkan hubungan baik sebagai sahabat. "Perpisahan ini keputusan bersama. Kami masih berhubung, kadang-kadang anak-anaknya ada hubungi menerusi panggilan video apabila mereka rindu. “Mereka kata nak jumpa, lepas ABPBH ini, mungkin akan cari masa untuk bertemu dengan mereka. Hubungan saya dengan Yasmin pun masih baik, tidak bergaduh pun," ujarnya. Sama seperti pasangan putus cinta lain, dia mengakui berasa sedih apabila hubungan yang dibina terlerai. ARTIKEL BERKAITAN: Kekasih kerap datang makan, Yasmin Hani jawab tuduhan tinggal serumah dengan Alif Hadi... “Mak saya nak letak dekat mana?” ARTIKEL BERKAITAN: Takkan nak makan mi segera setiap hari... Yasmin Hani dan Alif Hadi belum sedia kahwin, tunggu masa sesuai "Sejujurnya memang ada rasa sedih sebab kami sudah bercinta selama tiga tahun, namun pada masa sama tak mahu buang masa dan perlu 'move on'. "Tuhan Maha Perancang, satu nikmat diambil dan pasti akan diganti dengan perkara lebih manis lagi. "Bagi saya, kita hanya mampu merancang dan kalau sudah terjadi. Doa yang baik-baik. Mungkin perancangan saya ini tidak sehebat aturan Tuhan, jadi berserah sahaja," jelasnya. Tidak mahu terus melayan perasaan sedih, Alif berkata dia mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjaya seni apatah lagi selepas memenangi Anugerah Aktor Pembantu Filem Popular ABPBH36. Alif masih berhubung dengan anak-anak Yasmin. Ini kerana Alif tidak mahu dirinya melalui fasa kesedihan melampau sehingga menjejaskan kesihatan mental. "Ketika ini lebih kurang fasa 'healing', saya memang teruskan hidup macam biasa. Pada awalnya memang rasa sangat sedih tetapi saya beri fokus utama pada diri sendiri dan kerja yang setakat ini tak berhenti. "Mungkin kalau saya tiada kerja ketika ini (fasa putus cinta), mungkin keadaan kesihatan mental akan terjejas. Apa pun syukur semuanya berjalan dengan baik," katanya. Untuk rekod, Yasmin pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli muzik, Sha'arin pada 2015 namun berpisah selepas 10 tahun berkahwin. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong kini berusia tujuh tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!