PENYANYI Zubir Khan menerima Anugerah Muhibah daripada Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) Macrokiosk 2024 susulan lagu berbahasa Tamil nyanyiannya berjaya mencetus fenomena di media sosial. Zubir atau Muhammad Zubir Mohamad Ali, 24, berkata, dia tidak menyangka hasil usahanya mendapat pengiktirafan dan berharap karya dihasilkan dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menghayati semangat berbilang kaum. "Ini benar-benar satu kejutan kerana saya tak pernah menjangkakan apa-apa anugerah daripada apa yang saya lakukan. "Bagi saya, kegembiraan sebenar adalah apabila melihat lagu-lagu saya menyatukan ramai orang. Zubir mahu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menerapkan semangat muhibah. "Saya berharap dengan terus mencipta dan menyanyikan lagu-lagu baru, ia akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghayati semangat muhibah dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia sejati," katanya. Tidak hanya trofi, Zubir turut menerima wang tunai sebanyak RM2,000 berserta sijil penghargaan. Dalam pada itu, Zubir memberitahu dia sudah mula berkawan rapat dengan kanak-kanak berbangsa India dan Cina sejak kecil ketika dibesarkan di estet kelapa sawit di Sepang, Selangor. Menurut penyanyi lagu Oh My Kadhale ini, dia fasih berbahasa Tamil melalui perbualan harian bersama rakan-rakan ketika menetap di estet. ARTIKEL BERKAITAN: Zubir Khan pasang impian kembangkan karier di India, dulu tak ada orang nak ambil kerja sebab tiada tangan ARTIKEL BERKAITAN: Lancar lagu berbahasa Melayu pertama, ‘Unik’ gambaran tentang siapa Zubir Khan "Komuniti di estet bertutur dalam bahasa Tamil dan kehidupan di situ tanpa ada halangan perkauman. "Saya meminati muzik malah pemina tegar komposer asal India iaitu Anirudh. Apabila ada kelebihan berbahasa Tamil, saya fikir mengapa tidak mencuba menyanyi dalam bahasa berkenaan," ujarnya. Sementara itu, Presiden NPC iaitu Datuk Ahirudin Attan berkata, pemilihan Zubir dibuat atas usaha penyanyi berkenaan dalam menyatukan rakyat Malaysia menerusi muzik. Kata Ahirudin, dia berharap kelab tersebut dapat terus menyemarakkan semangat muhibbah melalui kerjasama bersama Macrokiosk. "Untuk mencapai matlamat ini memerlukan kerjasama setiap rakyat di Malaysia dan ia bermula dengan menyemai semangat dalam diri generasi muda. Zubir mula dikenali dengan nyanyian lagu bahasa Tamil. "Zubir telah menunjukkan semangat muhibbah yang mengagumkan dengan menyatukan masyarakat melalui kecintaan dan bakatnya dalam nyanyian lagu-lagu Tamil," katanya. Dalam perkembangan lain, Zubir bakal melancarkan lagu baharu berjudul Deepavali Sudah Mari pada 26 Oktober ini. Lagu tersebut dicipta khas sempena sambutan Deepavali bagi menghidupkan lagi suasana perayaan cahaya ini. Zubir berjaya menyuntik elemen tradisional Deepavali dengan rentak moden, sekali gus menjadikan lagu tersebut mudah diterima oleh semua golongan pendengar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!