HASRAT diluahkan bekas penyampai radio Kieran yang mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah menjentik hati penyanyi Elly Mazlein untuk menunaikan impian tersebut. Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, berkata, rezeki yang dikurniakan Allah SWT buatnya seharusnya dikongsi dengan rakan-rakan memerlukan apatah lagi Kieran pernah bekerja di stesen radio sama dengannya. "Dengan rezeki diberikan ini apa salahnya saya membantu saudara sesama Islam. Kieran juga merupakan bekas penyampai radio Era tempat saya bekerja sekarang. Jadi mengapa tidak untuk saya bantu. Elly harap impian Kieran tercapai. "Saya hanya kongsi apa yang saya mampu," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu. Sebelum ini kisah Kieran yang kini sedang berdepan ujian menghidap penyakit kanser prostat mendapat perhatian Elly. Dalam ruangan komen di Instagram mStar, Elly memberitahu dia akan berusaha untuk membantu Kieran yang meluahkan hasrat mahu mengerjakan ibadah umrah di Makkah. ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga penguat semangat Kieran lawan kanser prostat, pasang niat tunai umrah atau haji ARTIKEL BERKAITAN: Elly Mazlein curi masa ‘me time’ di rumah, tidak ambil sebarang makanan tambahan Tambahnya dia juga sudah menghubungi Kieran berhubung perkara tersebut. "Saya baru sahaja menghubungi Kieran dan kita tunggu maklum balas darinya. Kalau ada rezeki segala niat Kieran akan tertunai," ujarnya. Kieran kini dalam proses rawatan akibat sakit kanser. Menerusi temu bual bersama mStar sebelum ini, Kieran atau Maskiran Jakiran, 49, berharap dia masih diberi kesempatan untuk sekali lagi mengerjakan ibadah umrah. Malah katanya lebih utama jika dapat berpeluang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji. Kieran kini masih dalam proses menjalani rawatan kanser dan difahamkan sel barah sudah merebak ke bahagian perut serta paru-paru. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!