suria

Siti Nurhaliza penyanyi wanita ketiga terima Anugerah Biduan Negara 2024

Siti bakal lancar lagu sempena penganugerahan yang diterima.

PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta sejarah apabila menjadi wanita ketiga diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Biduan Negara pada Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang berlangsung pada malam Rabu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Khairul Firdaus Akhbar Khan pada majlis yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur.

Selain trofi, Siti turut membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 Siti juga membawa pulang wang tunai berserta kain songket watikah dan status sebagai Seniman Tamu.

ct

Siti (kanan) ketika menerima Anugerah Biduan Negara daripada Khairul Firdaus.

Anugerah tersebut diberikan kepada Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 45, bukan sahaja aktif dalam seni suara malah berjaya mengangkat seni budaya dan warisan ke peringkat antarabangsa.

Mengulas mengenai penganugerah tersebut, Siti melihat pengiktirafan tersebut bukan sekadar terhadap pencapaian kerjaya seni namun lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.

Amanah dan kepercayaan ini kata Siti merupakan tanggungjawab secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.

Seni menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.

SITI NURHALIZA

PENYANYI

“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.

“Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.

“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

Selain Siti, dua penyanyi wanita yang pernah menerima anugerah sama adalah Allahyarham Puan Sri Saloma pada tahun 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.

Manakala Allahyarham Tan Sri SM Salim menerima anugerah sama pada 2013 menjadikan hanya empat penyanyi legenda yang pernah menerima pengiktirafan tertinggi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh dunia 10 tahun berturut-turut

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza berharap ada kesempatan lihat anak-anak naik pelamin, doa bertemu jodoh baik

Gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya.

Sementara itu, bersempena dengan penganugerah itu, Siti bakal melancarkan sebuah lagu baharu berjudul Sejarah tepat pukul 12 tengah malam, pagi Khamis.

Lagu berkenaan turut mendapat sentuhan komposer terkenal Indonesia Erwin Gutawa dan Gita Gutawa dengan iringan Orkestra Simfoni Czech.

Untuk rekod, Siti yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian pada usia 16 tahun selepas mencul sebagai juara pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini anjuran RTM pada tahun 1995.

ct 2

Siti antara penyanyi yang mengangkat nama negara.

Bakat dan populariti Siti semakin menyerlah apabila beliau berjaya memenangi kategori Lagu Balada Terbaik dan Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-11 pada 1996 menerusi lagu Jerat Percintaan.

Pada tahun yang sama, Siti juga meraih Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bagi kategori Penghibur Televisyen Paling Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Remaja Popular dan kemenangan keseluruhan, Bintang Paling Popular.

Beliau juga pernah digelar sebagai Voice of Asia selepas memenangi Grand Prix Champion di pertandingan Voice of Asia di Almaty, Kazakhstan pada 2002.

ct 1

Bakat Siti sentiasa dikagumi rakyat Malaysia.

Beliau merupakan artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah sehingga tercatat dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 dan kekal pemegang rekod sehingga kini.

Sehingga kini, beliau telah menerima dan memenangi lebih daripada 300 anugerah tempatan dan antarabangsa.

Sepanjang kariernya, Siti juga pernah menghasilkan 16 album studio, 11 album kompilasi, 10 album secara langsung, dua album duet dan sebuah album khas serta telah merakamkan lebih daripada 250 lagu dan single.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain