ISTERI penyanyi Sufi Rashid iaitu Nurulain Md Yusof selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada pukul 5 petang di sebuah pusat perubatan di Selangor pada Selasa. Sufi atau Muhammad Sufi Rashid, 33, berkata, bayi perempuan berkenaan dilahirkan secara normal seberat 3.6 kilogram. Penyanyi kelahiran Singapura itu turut meluahkan rasa teruja dan bersyukur apabila diberi peluang berada di sisi isteri ketika menyambut kelahiran bayi mereka. Sufi menemani isteri sepanjang proses kelahiran. "Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami semalam (Selasa). "Saya begitu teruja dapat menyambut sendiri kelahiran anak kami dan berada di sisi isteri sepanjang proses melahirkan," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Nurulain memberitahu dia sangat terharu apabila dapat melihat wajah bayi perempuan mereka buat kali pertama. ARTIKEL BERKAITAN: “Baby London!” - Isteri hamil 6 bulan, Sufi Rashid bakal timang bayi perempuan ARTIKEL BERKAITAN: Sufi Rashid rasai nikmat sabar, hubungan dengan ibu sudah kembali jernih Tambahnya, dia juga meluahkan rasa syukur kerana ditemani suami sepanjang berada di hospital. "Saya terharu apabila melihat anak pertama kami disambut oleh suami sendiri. "Saya juga gembira apabila Sufi berada di sisi saya sewaktu melahirkan bayi," ujarnya. Untuk rekod, Sufi dan Ain mendirikan rumah tangga pada 21 September 2019. Pasangan ini menunggu selama lima tahun untuk menyambut kelahiran anak pertama ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!