suria

‘Nyalafest 2024’ gabung penyanyi hebat dua negara... Noh Salleh, Feby Putri, Bernadya paling dinanti penonton

(Dari kiri) Feby Putri, Noh dan Bernadya antara 8 penyanyi bakal hiburkan penonton.

LAPAN orang penyanyi hebat dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia bakal berkongsi pentas menjayakan festival muzik Nyalafest 2024 bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November ini.

Menurut penganjur yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RF3 Entertainment, Muhammad Nashreen Syazwan Nazeri, pihaknya berbangga dapat bersama meraikan acara festival muzik yang membariskan barisan artis yang terbaik dari Malaysia dan Indonesia.

"Pasukan kreatif bertungkus lumus mendapatkan barisan artis yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia. Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan tiket rendah, konsert solo Aisha Retno terpaksa dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 14 tahun menanti, konsert sulung Drama Band ‘full house’... Pukau penonton menerusi persembahan aksi lasak

"Setiap artis sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung.

"Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan artis akan dirahsiakan sehingga hari persembahan," katanya.

Penonton dijangka akan dihiburkan oleh penyanyi terkenal Malaysia iaitu Noh Salleh X Restoe Iboe.

Screenshot 2024-11-14 165336

8 penyanyi dari Malaysia dan Indonesia bakal hiburkan penonton.

Manakala artis Indonesia yang ditampilkan Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya dan Fugo.

Berkongsi mengenai pemilihan Noh Salleh sebagai artis jemputan, Muhammad Nashreen Syazwan berkata, Noh sudah beberapa kali bekerjasama dengan penganjur dan persembahannya sering mendapat sambutan peminat.

“Persembahan Noh yang diiringi Restoe Iboe pasti memberi kejutan. Ini kerana Noh sering kali tampil solo, tetapi kali ini, bakal beraksi bersama band, sekali gus memperlihatkan persembahan berbeza,” katanya.

Mengulas soal lokasi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Muhammad Nashreen Syazwan berkata ia dipilih kerana mampu memuatkan kapasiti lebih 15,000 penonton.

"Pintu stadium akan dibuka jam 2 petang dan set pertama persembahan artis akan bermula pada jam 3 petang.

"Dari segi jualan tiket, lebih 60 peratus tiket sudah terjual sejak hari pertama penjualan dibuka pada 6 September lalu dan ia dijangka berterusan sehingga menjelang hari konsert nanti," katanya.

Tiket acara ini boleh didapati menerusi laman web myticketempire.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain