suria

6 bulan Hafiz Suip kena jadi ‘budak baik’, cerita punca bertumbuk atas jalan raya

Hafiz mengakui kesilapannya bertindak kasar.

TERLIBAT pergaduhan jalan raya pada 30 Ogos lalu, penyanyi Hafiz Suip mengakui kejadian itu berlaku disebabkan dia terlalu mengikut emosi sehingga bertindak di luar kawalan.

Menceritakan punca pergaduhan itu, Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 34, berkata ia disebabkan lelaki berkenaan menyembur pemedih mata ke arahnya sehingga keadaan menjadi tegang.

"Cerita sebenarnya saya memang mengakui ia adalah kerana terlalu emosi di mana biasalah bila kita berada di atas jalan dan berlakunya provokasi.

"Saya rasa dia emosi juga. Pada waktu itu sedang berlaku kesesakan jalan raya. Semua orang nak balik kerja. Dia keluar kereta sahaja terus spray. Itu yang menyebabkan saya jadi melenting dan terkejut.

Hafiz kini menjalani bon kelakuan baik selama enam bulan.

Hafiz kini menjalani bon kelakuan baik selama enam bulan.

"Waktu itu, lelaki tersebut menggunakan pepper spray itu yang saya rasa sangat pedih. Bayangkan kita makan cili tergosok mata pun pedih, jadi cuba fikir apabila semburan itu tepat kena pada bahagian mata," katanya kepada mStar.

Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) yang diadakan di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam pada malam Khamis.

Dalam pada itu, Hafiz memberitahu dia bersyukur kerana kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan sudah memohon maaf kepada individu terbabit.

Malah, dia kini sedang menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes gaduh atas jalan sudah selesai, Hafiz Suip dan ‘uncle’ saling bermaafan

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden bergaduh di tepi jalan, Hafiz Suip dikenakan bon berkelakuan baik selama 6 bulan

"Saya akui salah saya juga, saya sudah pun minta maaf dengan individu terbabit. Alhamdulillah semuanya sudah diselesaikan dengan baik.

"Sebenarnya perkara (kes gaduh) itu sudah selesai. Apa yang saya boleh katakan, sekarang ini saya berada dalam bon iaitu hukuman paling ringan bagi kesalahan tertentu.

"Saya perlu berkelakuan baik selama enam bulan. Sekarang ini baru dua bulan, jadi saya kena jadi budak baik. Saya tak boleh terkait dengan segala kes keganasan dan sebagainya," ujarnya.

Saya kena belajar juga untuk mengawal emosi marah, mungkin juga disebabkan faktor usia.

HAFIZ SUIP

PENYANYI

Mengambil iktibar atas yang berlaku, Hafiz berkata selepas ini dia perlu lebih bijak mengawal emosi dan tenang ketika berdepan situasi tegang.

"Saya tidak mahu memanjangkan cerita lagi dan saya akui kesilapan saya. Saya kena belajar juga untuk mengawal emosi marah, mungkin juga disebabkan faktor usia.

"Bila kita berada dalam keadaan jiwa kacau, apa sahaja yang berlaku anda perlu lebih relaks.

Hafiz dan Goh sudah saling memaafkan.

Hafiz dan Goh sudah saling memaafkan.

"Fikir dulu sebelum buat apa-apa. Saya akui pada ketika itu saya tidak berfikir panjang. Bila selesai kes tersebut, fikir-fikir balik sepatutnya saya perlu lebih tenang untuk menyelesaikan masalah dengan rasional," katanya.

Pada 30 Ogos lalu, tular video Hafiz menumbuk seorang lelaki yang dikenali sebagai Goh Hui Heong di Jalan Padungan, Kuching, Sarawak.

Kejadian berpunca daripada salah faham apabila Goh membunyikan hon selepas Hafiz memberi isyarat memasuki jalan berkenaan.

Goh turut menghimpit serta memandu sehingga menghampiri kenderaan dipandu Hafiz sebelum berhenti di jalan berkenaan dan berlaku pertengkaran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain