suria

Kaitkan isu cerai dengan ADHD, Diana Danielle anggap itu hanya serangan peribadi

Diana tidak mengambil serius berkenaan dakwaan tentang penyakit ADHD yang dihadapinya.

PELAKON Diana Danielle menyangkal dakwaan segelintir netizen mengaitkan kemelut rumah tangga bersama aktor Farid Kamil disebabkan oleh penyakit sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan atau ADHD yang dihidapinya.

Tidak ambil pusing andaian netizen itu, Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, bagaimanapun berkata dakwaan tersebut dianggap sebagai satu serangan peribadi.

"Apa yang didakwa oleh segelintir netizen itu bagi saya hanya serangan berbentuk peribadi. Saya tidak mengambil perkara itu dengan serius," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Diana memberitahu dia kini sudah mampu untuk mengendalikan situasi tegang dengan baik dan mahu menyebarkan kesedaran berkenaan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

diana2 - 1

Diana mahu menyebarkan kesedaran tentang kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Jelas Diana, masih ramai individu di luar sana yang kurang faham tentang masalah berkaitan penyakit mental.

"Setakat ini Alhamdulillah saya masih boleh mengendalikan diri dengan baik. Masih banyak stigma buruk tentang kesihatan mental, termasuk daripada pandangan golongan profesional dan remaja.

"Perbualan berkenaan penyakit ini bukan hanya tentang saya yang menghidap ADHD tetapi saya hanya mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Saya rasa ramai lagi yang memerlukan platform untuk mereka lebih tahu tentang kondisi-kondisi kesihatan mental," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap ADHD bukan bipolar, Diana Danielle betulkan tanggapan salah segelintir pihak

ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle cepat lupa kerana sindrom ADHD, perlu ada pembantu... Solat dan al-Quran cara atasi gangguan

Dalam pada itu, Diana juga tidak menafikan masih ramai pesakit takut untuk menerima rawatan kerana bimbang kos yang perlu ditanggung.

Pelakon filem Evolusi KL Drift itu bagaimanapun menjelaskan pesakit boleh mendapatkan bantuan menerusi beberapa inisiatif yang disediakan oleh kerajaan tanpa perlu ke hospital.

"Saya juga memahami keadaan ramai masyarakat Malaysia yang masih merasa untuk mendapatkan rawatan dengan pakar memerlukan kos yang tinggi.

Apa yang didakwa oleh segelintir netizen itu bagi saya hanya serangan berbentuk peribadi.

DIANA DANIELLE

PELAKON

"Mereka takut kalau pergi doktor nanti apa akan terjadi? Kalau makan ubat jadi apa? Nasihat saya jangan risau. Kita patut lebih bimbang jika membiarkan keadaan jadi lebih melarat.

"Sekarang ini kerajaan juga banyak memberikan inisiatif rawatan di mana pesakit boleh berhubung untuk berjumpa psikiatri tanpa perlu melalui prosedur hospital," katanya.

Sebelum ini, Diana menegaskan dia bukanlah seorang pesakit bipolar seperti didakwa sesetengah pihak.

Jelas aktres berkenaan, dia hanya menghidap ADHD dan segala tuduhan yang dilemparkan kononnya dia menderita bipolar hanyalah untuk menidakkan beberapa keputusan dibuat olehnya.

diana1 - 1

Diana dilantik sebagai duta B&G Recipe.

Dalam perkembangan lain, Diana dilantik sebagai duta bagi jenama B&G Recipe yang baharu sahaja ditubuhkan pada Disember tahun lalu.

Kata Diana, dia berbesar hati untuk menerima tawaran tersebut kerana mahu membantu menaikkan jenama kedai kopi tempatan.

"Sebelum saya ditawarkan menjadi duta, saya pernah mencuba kopi dan pastri di B&G Recipe. Saya memang suka dengan kelembutan pastri di kafe mereka.

"Saya ditawarkan untuk menjadi duta sekitar beberapa bulan lalu dan berbesar hati untuk sama-sama menaikkan jenama kopi tempatan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain