PENDATANG baharu sepatutnya menunjukkan rasa hormat serta memulakan langkah bertegur sapa dengan pelakon lebih senior ketika berada di set penggambaran. Bagi pelakon Sophia Albarakbah, dia mengakui ada timbul rasa takut untuk memulakan langkah menegur artis lebih senior kerana bimbang mereka enggan diganggu atau tersalah kata ketika berbual dengan mereka. Namun tanggapan itu ternyata salah apabila sepanjang bergelar pelakon dia tidak pernah berdepan isu dibuli artis lebih senior dan sentiasa dapat bekerja dengan mereka yang profesional. "Pertama kali saya berkongsi set penggambaran dengan pelakon senior sudah tentu saya rasa agak takut. Kita akan fikir yang mereka ini mungkin sombong. Sophia sentiasa menghormati pelakon-pelakon lebih berpengalaman. "Tapi bila dah masuk set dan mengenali mereka semuanya baik dan tidak ada seorang pun bersikap sombong. "Sebagai pelakon baru kita sendiri perlu mendekati dan menegur mereka terlebih dahulu dan secara tidak langsung mereka pun akan baik dengan kita," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 31, memberitahu dia tidak pernah berdepan dengan isu buli seperti sedang hangat diperkatakan. Kata pelakon drama From Saga With Love 2 ini, pelakon-pelakon senior banyak memberikan bantuan dan ilmu ketika mereka berada di set yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: Sophia Albarakbah puji komitmen Alif Satar, jaga batas di lokasi penggambaran ‘Reeza GTR’ ARTIKEL BERKAITAN: [V] Terima banyak komen lucah dan hinaan, Sophia Albarakbah sudah kumpul bukti bakal ambil tindakan "Sepanjang saya berada di set penggambaran, setakat ini tidak wujud isu dibuli oleh pelakon senior. "Bagi saya, pelakon-pelakon senior ini banyak membantu dan berkongsi pengalaman jadi tak timbul isu buli-membuli ini. "Kita sebagai pelakon junior sepatutnya perlu menghormati individu lebih berusia dan berpengalaman," ujarnya. Tambah Sophia lagi, isu pendatang baharu dibuli ini mungkin disebabkan sikap artis itu sendiri tidak mahu menjalinkan hubungan baik dengan pelakon senior. Sebagai pelakon baru kita sendiri perlu mendekati dan menegur mereka (artis senior) terlebih dahulu. SOPHIA ALBARAKBAH PELAKON "Mungkin pelakon junior yang dibuli ini tidak mempunyai hubungan baik dan cara layanan yang diberikan kepada pelakon senior ini juga bergantung dengan kelakuan mereka. "Kalau anda melayani orang dengan baik, sudah tentu orang akan baik juga dengan anda. "Saya tidak rasa pelakon senior nak masuk set penggambaran semata-mata untuk membuli tanpa sebab," jelasnya. Sementara itu, Sophia berkata dia mengagumi pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Fauziah Nawi, Vanida Imran dan Datuk Eizlan Yusof yang disifatkan sebagai profesional dan banyak membantu. Sophia banyak menimba ilmu lakonan daripada pelakon senior. Sophia turut menasihati pendatang baharu agar tidak mensia-siakan peluang dalam mencari ilmu lakonan dengan pelakon senior yang lain. "Ramai pelakon-pelakon senior yang saya kagumi dan pernah bekerjasama antaranya seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Aleeza Kassim, ibu Fauziah Nawi, Eizlan Yusof dan ramai lagi. "Saya rasa sebagai pelakon junior, kita perlu menghormati pelakon senior kerana banyak ilmu yang boleh diperoleh daripada mereka. Jangan sia-siakan kehadiran mereka dalam set penggambaran itu," jelasnya. Sophia dan Tony Eusoff bergandingan dalam drama From Saga With Love 2. Sebelum ini, media melaporkan wujud budaya buli di antara pelakon senior dan junior. Perkara itu mendapat perhatian pelakon dan pengarah Dr Ahmad Idham yang tampil menasihati pendatang baharu yang didakwa menjadi mangsa buli dalam industri seni. Kata Idham, mangsa perlu berkongsi kejadian di set penggambaran kepada pengarah dan bukannya melalui media. Ini kerana pengarah merupakan ketua di lokasi penggambaran dan perlu mengetahui sesuatu kejadian yang berlaku di sebalik tabir. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!