suria

[V] S Atan ingatkan isteri tentang perpisahan sejak seminggu lalu, larang iringi jenazahnya ke kubur

ALLAHYARHAM Datuk S Atan sering mengingatkan isterinya iaitu Datin Norizan Yeob tentang perpisahan yang bakal berlaku di antara mereka seminggu sebelum komposer terkenal itu meninggal dunia.

Kata Norizan, 60, arwah juga sering menyatakan hasrat untuk ‘pergi’ di rumah mereka selain enggan lagi menerima rawatan di hospital.

“Dia nak meninggal dunia di rumah dan tak mahu dirawat di hospital... dia dapat malah arwah dapat menghembuskan nafas terakhir di sisi saya dan anak-anak.

“Dalam seminggu ini dia banyak beri nasihat. Dia pernah cakap pada saya tentang perpisahan dan perlu reda menerimanya.

datin1 - 1

S Atan memberikan beberapa petanda sebelum meninggal dunia.

“Ketika masih dalam keadaan sihat, dia pesan siapkan kain batik lepas dan kain putih untuk urusan kematiannya di rumah,” katanya kepada mStar.

Norizan berkongsi perkara itu ketika ditemui di kediamannya di Kajang, Selangor.

Dalam pada itu, Norizan memberitahu S Atan turut berpesan agar dia tidak mengiringi jenazahnya ke tanah kubur untuk proses pengebumian.

Tambahnya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini juga bagai petanda arwah bakal pergi selamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Komposer S Atan meninggal dunia akibat sesak nafas

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Adik lelaki sifatkan S Atan komited terhadap muzik, sempat gubah 3 buah lagu untuk penyanyi wanita

“Dia bagaikan tahu nak pergi. Memang saya ada rasa namun tidak mahu berfikir.

“Saya ada di sisinya. Saya genggam tanya arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” kongsinya.

Sementara itu, Norizan memberitahu dia dapat memandikan arwah pada pagi Sabtu dan puas dapat menjalankan tanggungjawab membersihkan suami buat kali pertama dan terakhir.

Dia pernah cakap pada saya tentang perpisahan dan perlu reda menerimanya.

DATIN NORIZAN YEOB

ISTERI S ATAN

Malah suaminya sempat memberi isyarat agar memasukkan RM50 ke dalam tabung sedekah khas disediakan arwah.

“Selama ini saya tidak pernah mandikan dia, namun dapat berbuat demikian buat pertama kali dan terakhir pagi tadi (Sabtu).

“Dalam waktu Subuh dia juga menunjukkan isyarat lima jari sebagai tanda saya bersedekah RM50 ke dalam kotak khas yang memang sudah disediakan.

datin2 - 1

Norizan sentiasa berada di sisi S Atan sewaktu beliau sedang uzur.

“Dia pergi dalam keadaan tenang. Saya reda dan puas dapat menjaga arwah. Cuma saya masih bersedih kehilangan orang tersayang,” ujarnya.

S Atan atau Hashim Said, 75, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.53 petang Sabtu di kediamannya dekat Kajang, Selangor akibat sesak nafas.

Allahyarham memmilik enam orang cahaya mata bersama Norizan dan empat lagi menerusi perkahwinan terdahulu.

Jenazah dijangka akan dikhafankan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada pagi Ahad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang sekitar pukul 11 pagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain