suria

Penganjur perjelas isu batal konsert, Aisha Retno diminta lunas hutang RM77,000

Pihak penganjur akhirnya bersuara mengenai pembatalan konsert Aisha.

PENGANJUR konsert Kharisma Music International menyangkal tuduhan Aisha Retno kononnya penyanyi itu tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan atau pembatalan Konsert Aisha Retno Malam Sutera yang sepatutnya berlangsung pada 16 November lalu.

Penyanyi yang juga penganjur konsert Yuka Kharisma sebaliknya menjelaskan pihaknya dan Aisha Retno Entertainment (ARE) pernah bertemu bagi membincangkan hala tuju persembahan itu memandangkan jualan tiket tidak memberangsangkan.

Jelas Yuka, pada perbincangan tersebut pihak Aisha maklum mengenai keputusan penganjur ingin menangguh membatalkan konsert berkenaan bagi mengelak kerugian lebih besar.

yuka 1

Yuka (tengah) bersama pihak peguam Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof.

“Sekitar September 2024, terdapat beberapa perjumpaan diadakan di antara pihak Kharisma Music International dan Aisha Retno Entertainment bagi membincangkan hala tuju konsert tersebut.

“Dalam pertemuan tersebut, pihak mereka telah dimaklumkan bahawa setakat tarikh perjumpaan, jumpah tiket yang terjual hanya lebih kurang 98 tiket manakala 100 tiket diperuntukkan untuk pihak media daripada 2,414 tiket ditawarkan.

“Disebabkan penjualan tiket tidak memberangsangkan dan tidak mencapai sasaran, pihak penganjur memaklumkan kepada ARE konsert harus ditangguh atau dibatalkan bagi mengelakkan kerugian,” katanya.

Yuka menjelaskan perkara itu menerusi sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan tiket rendah, konsert solo Aisha Retno terpaksa dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Aisha Retno anggap penganjur tidak profesional, tiada perbincangan sebelum umum batal konsert

Selain Yuka, sidang media itu turut dihadiri oleh peguam Kharisma Music International iaitu Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof.

Yuka pada sidang media sama turut menyangkal dakwaan pihaknya tidak melakukan seberang kerja-kerja promosi konsert tersebut.

Jelas Yuka, pihaknya sudah melaksanakan tugas mereka sebagai penganjur sebaliknya pihak Aisha tidak memberi kerjasama dalam kerja mempromosikan konsertnya.

"Sebagai penganjur kami sudah membuat promosi menerusi ads namun kita juga sangat terbatas dan kita minta (Aisha) satu video, ia memakan masa hampir dua bulan. Artis juga memainkan peranan yang besar untuk sebuah konsert.

Artis juga memainkan peranan yang besar untuk sebuah konsert.

YUKA KHARISMA

PENGANJUR KONSERT

"Ini bukan konsert pertama saya, sudah banyak yang saya anjurkan dan artis memainkan peranan penting untuk menjayakan konsert tersebut dan juga promosi.

"Kalau kata kita kurang promosi kena tanya juga bagi pihak artis, adakah anda sudah buat banyak promosi di sosial media anda?," luahnya.

Sementara itu, Yuka menjelaskan penganjuran konsert itu juga sebagai cagaran Aisha membayar semula wang dipinjam sebanyak RM83,000 ketika menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Mac lalu.

Yuka mendedahkan wang itu diberikan kepada Aisha bagi membantunya menjayakan persembahan selepas mengalami kekurangan dana dan meminta penyanyi berkenaan membayar semula wang tersebut.

yuka 2

Yuka lakukan perbincangan bersama pihak peguam.

Setakat ini jelas Yuka, pihak Aisha menerusi Aisha Retno Entertainment (ARE) baru membuat pembayaran sebanyak RM6,000 dan baki RM77,000 belum dilunaskan.

“Pada Januari 2024, pihak Aisha Retno Entertainment (ARE) ada menyatakan kesukaran mereka mencari dana bagi persembahan Aisha pada AJL38 yang berlangsung pada Mac lalu.

"Mereka memohon bantuan daripada pihak Kharisma Music untuk merealisasikan persembahan di pentas AJL38.

"Kami telah berikan Aisha lebih kurang RM83,000 untuk persiapan Aisha dan setakat ini dia hanya membayar RM6,000 sahaja," katanya.

aisha 1

Aisha sebelum ini meluahkan rasa kecewa apabila konsertnya dibatalkan.

Pada 9 November lalu, Kharisma Music International menerusi Instagram mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November di Zepp Kuala Lumpur dibatalkan kerana jualan tiket rendah.

Bagaimanapun, Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, menyifatkan tindakan pihak penganjur mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan konsert solonya sebagai tidak profesional.

Katanya, dia mahu meneruskan konsert tersebut namun tidak dapat berbuat apa-apa susulan semua keputusan dibuat tanpa berbincang dengannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain