SEJAK kebelakangan ini, drama berkisarkan pergolakan rumah tangga cukup mendapat tempat di hati penonton sehingga ada di antara mereka terbawa-bawa dengan kisah dipaparkan. Tidak ketinggalan drama bersiri Viu Di Hatiku Ada Kamu yang turut meninggalkan impak mendalam di hati penonton - sedih, dendam, marah dan geram dengan kisah rumah tangga di antara Rian Aulia dan Adif lakonan Hannah Delisha dan Redza Rosli. Adif dan Rian yang berkahwin atas aturan keluarga rupa-rupanya menyimpan dendam tersembunyi untuk membalas dendam sehingga membuatkan penonton emosi dengan sikap Adif. Awal kebahagian Rian dan Adif tersembunyi dendam. Namun dalam geram dengan watak Adif, ramai juga tersentuh dengan sikap lelaki itu yang sebenarnya tulus mencintai Rian dalam diam. Dalam menaruh Rian dan Adif saling mencintai, harapan penonton dirobek apabila Rian membawa diri ke luar negara selepas segala perbuatan kejam suami terhadapnya dan keluarga terbongkar. Bahagian satu Di Hatiku Ada Kamu sememangnya membuatkan penonton tak senang duduk apabila kisah mereka tergantung tanpa pengakhiran diharapkan. Adif cuba mendapatkan hati Rian kembali. Bagaimanapun drama tersebut sebenarnya mempunyai bahagian dua sebanyak 13 episod yang bakal merungkai kesudahan dendam dan pergolakan rumah tangga Rian dan Adif. Apa sebenarnya yang berlaku selepas Rian pulang ke tanah air bersama anak mereka dan bertemu Adif? Bahagian kedua drama tersebut dijangka membuat emosi penonton lebih bertambah 'kacau' apabila pelbagai pergolakan yang berlaku di antara mereka. Berkongsi mengenai drama tersebut, Hannah atau Hannah Adlina Blackburne Birch, 28, memberitahu dia sebenarnya berasa kekok bergandingan dengan Redza dalam drama tersebut. Hanna mahukan kelainan dalam lakonan. Tidak mudah kata Hannah untuk mereka mendapatkan keserasian dan mengambil masa dua minggu untuk mencari titik persamaan dan menjayakan kisah Rian dan Adif sehingga meninggalkan kesan di hati penonton. “Jujurnya saya bimbang juga adakah orang boleh terima drama gandingan pertama saya dengan Redza. Selepas episod pertama ditayangkan saya menerima komen positif dan perkara tersebut menaikkan lagi semangat saya untuk memberi lebih baik. “Saya tidak mahu penonton bosan melihat saya melakonkan watak yang sama berulang kali, jadi dalam setiap drama saya cuba beri warna berbeza,” katanya. Di Hatiku Ada Kamu bahagian dua lebih beremosi. Di Hatiku Ada Kamu diadaptasi daripada novel nukilan Rinsya Chasiani mula ditayangkan di platform Viu sejak 10 Oktober lalu. Karya arahan Azri Izhar itu turut dibintangi Danial Dashuki, Qistina Khaled, Datuk Seri Eizlan Yusof, Mas Anizan dan Husna Mustaffa. Bahagian kedua drama tersebut telah mula menemui penonton pada 21 November lepas dengan episod terbaru pada setiap hari Khamis hingga Sabtu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube