suria

Rizalman perjelas kritikan sebagai Profesor Adjung, tak terlintas ambil tugas ulama... Berazam bantu keperluan di gelanggang ilmu agama

Rizalman (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Timbalan Naib Canselor USIM, Prof Nik Salida Suhaila Nik Salleh (tengah) di USIM.

KEDUDUKAN pereka fesyen tersohor Datuk Rizalman Ibrahim sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) sekadar menyahut cabaran menggalas tanggungjawab diberikan kepadanya.

Rizalman, 53, yang juga merupakan pengasas Yayasan Rizalman Ibrahim (RI) menjelaskan tidak pernah terlintas difikirannya mengambil tugas ulama dan cendekiawan Islam apatah lagi mendabik dada bagi membicarakan mengenai ajaran Islam.

“Tugas kami hanya menyahut cabaran mengisi kekosongan material ilmu agama. Yayasan RI berusaha mencari dana dan menyalurkannya kepada rakan kami yang memiliki kepakaran.

“Kami di Yayasan RI tidak memiliki semua kepakaran itu, justeru kerjasama dengan pihak ketiga seperti Universiti Malaya dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

rizalman2 - 1

Rizalman tidak pernah terlintas untuk mengambil tugas ulama dan cendekiawan Islam.

“Insya-Allah akan membantu merealisasikan hasrat Yayasan RI dan dalam masa sama memenuhi keperluan di gelanggang ilmu agama,” jelasnya menerusi satu kenyataan kepada mStar.

Dalam pada itu, Rizalman menerusi usahanya bersama kerja-kerja dakwah di bawah Yayasan RI mahu mengajak seluruh umat Islam dan pengikut media sosial untuk bersama-sama mencari saham akhirat.

“Nawaitu kami di Yayasan RI ialah mahu mengajak masyarakat khususnya golongan dewasa untuk mencintai kalam suci al-Quran selain menghayati dan mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab suci,” ujarnya.

Antara kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh Yayasan RI melalui entitinya, Dar Al-Qari Resources ialah menerbitkan Kutub Sittah edisi bahasa Melayu dengan kerjasama Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Rizalman dilantik Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam UM

ARTIKEL BERKAITAN: Rizalman Ibrahim sumbang RM500,000 baik pulih Rumah Komuniti Malaysia di Liverpool

Yayasan RI juga telah menyalurkan dana sebanyak RM2.25 juta bagi penerbitan terjemahan tersebut merangkumi enam kitab sahih utama serta menaik taraf makmal al-Quran.

Keenam-enam kitab Kutub Sittah yang akan diterjemahkan itu ialah Jami’ At-Tarmizi, Sunnan Abu Daud, Sunnan Ibnu Majah, Sunnan an-Nasaie, Sahih Muslim dan Sahih Al-Bukhari.

Tidak hanya itu, Yayasan RI turut menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dalam projek terjemahan kitab suci al-Quran bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan dana disalurkan sebanyak RM3.96 juta.

Dana yang disalurkan oleh Yayasan RI itu mencakupi pelaburan yang mengambil masa enam tahun bermula dari kerja-kerja kajian dan penyelidikan sehingga proses penerbitan siap sepenuhnya.

Pada 14 November lalu, Rizalman diumumkan sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Rizalman dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Rizalman dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Pelantikan itu berkuat kuasa 23 Oktober lalu dan pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di akaun Facebook Akademi Pengajian Islam universiti berkenaan.

Rizalman menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu usaha dan dakwah yang dilakukan bagi mempersiapkan diri untuk melalui fasa mendatang.

Bagaimanapun terdapat segelintir pihak mempersoalkan pelantikan dan kelayakan Rizalman memegang jawatan tersebut dan merasakan ada individu lebih layak mengisi kekosongan tersebut.

Untuk rekod, ini merupakan lantikan akademik kedua buat Rizalman selepas dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara pada Ogos lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain