suria

[V] Lan Zailan cuma berselera makan buah pear, yakin boleh sembuh tanpa kemoterapi

TERKEJUT apabila dimaklumkan jangka hayatnya dianggarkan tiga bulan sahaja lagi, pelakon Lan Zailan bagaimanapun reda menerima takdir dirinya menghidap kanser pankreas tahap empat.

Isterinya iaitu Ruby Sara Omar, berkata, Lan, 66, memilih untuk kekal positif dan tidak putus semangat melawan penyakitnya itu.

"Mula-mula dia memang agak terkejut tapi dia yakin boleh laluinya. Saya nampak abang kuatlah.

lan zailan 1

Ruby setia menemani Lan di hospital.

"Ketika itu saya pegang tangan dia beritahu untuk sama-sama kuat lawan kanser ini. Sedih memang sedih tapi saya tak nak dia lebih kecewa. Jadi saya kawal sedih saya dengan sebaiknya," katanya kepada mStar.

Ruby berkongsi perkara itu ketika kunjungan mStar melawat Lan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada Khamis.

Berkongsi perkembangan terkini, Ruby memberitahu suaminya bersedia menerima pelbagai rawatan lain selain kemoterapi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lan Zailan hidap kanser pankreas tahap 4, sel barah sudah merebak ke hati dan paru-paru

ARTIKEL BERKAITAN: Batuk berpanjangan dan berat badan turun mendadak, Lan Zailan dimasukkan ke hospital

Namun keputusan itu akan dibuat pada Jumaat ini selepas doktor berbincang lanjut bersama anak-anaknya.

"Bila tahap empat ini doktor tak sarankan untuk lakukan pembedahan dan mengambil ubat kerana tidak membantu.

"Tapi Lan dah cakap tak nak buat kemoterapi sebab dia nak melawan sendiri. Dia takut keadaan badan dia akan menjadi lebih lemah dan mudah dapat penyakit lain.

Dia takut keadaan badan dia akan menjadi lebih lemah dan mudah dapat penyakit lain

RUBY SARA OMAR

ISTERI LAN ZAILAN

"Kemoterapi pun sekadar mengawal sel kanser bukannya untuk menyembuhkan tapi segala keputusan akan di buat Jumaat ini selepas anak-anak berbincang dengan doktor," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ruby berkata suaminya ketika ini tidak mempunyai selera makan seperti biasa namun boleh menikmati buah pear sahaja.

"Dia bukan jenis pemakan, bila tanya nak makan apa dia hanya minta buah pear. Kalau makanan lain hanya sesuap dua sahaja.

lan zailan 2

Ruby berkongsi keadaan suami yang tenang berdepan ujian.

"Setiap kali makan kena pujuk macam budak-budak," ujarnya.

Sebelum ini, Lan disahkan menghidap kanser pankres tahap empat dan barah berkenaan sudah merebak ke bahagian organ dalaman lain.

Pada Khamis lalu, menerusi temu bual bersama mStar, Ruby memaklumkan Lan dimasukkan PPUM akibat masalah batuk berpanjangan.

Isterinya memberitahu keadaan Lan tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun sudah beberapa kali di bawa ke klinik sejak Oktober lalu.

Malah Lan semakin lemah selain berat badan turun mendadak sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain