suria

Ibu dah minta cucu tapi Aniq Durar mahu fokus cari duit dulu

Aniq tidak fokus untuk mencari pasangan.

TATKALA usia semakin meningkat, pelakon Aniq Durar juga tidak dapat lari daripada menerima soalan berkaitan jodoh.

Bukan hanya orang sekeliling, Aniq atau nama sebenarnya Awangku Aniq Durar Pengiran Malyx, 31, berkata dia kerap menerima soalan sama daripada ibunya.

Aniq bagaimanapun memberitahu soal mencari pasangan bukanlah keutamaannya kerana kini dia mahu memberikan fokus kepada kerjaya seni yang baru dibina.

aniq 1

Aniq sedar dirinya terlambat memulakan kerjaya dalam bidang seni.

"Mak saya memang selalu hubungi dan tanya sudah ada kekasih atau tidak? Tapi soal jodoh ini tak pernah pun beri tekanan buat saya, Sebab ramai lelaki dalam keluarga berkahwin lambat.

"Sekarang ini saya mahu fokus kerjaya dahulu. Lebih baik kumpul duit sebelum fikir nak kahwin. Kita pun tahu untuk bina keluarga perlukan perbelanjaan besar," katanya kepada mStar.

Bagi pelakon ini juga dia tidak mahu hubungan cinta mengganggu perjalanan kerjaya seni kerana sedar dirinya sedikit terlambat memulakan karier sebagai pelakon.

ARTIKEL BERKAITAN: Karya tempatan beri saingan sengit, tujuh filem hebat bolos kategori Filem Terbaik FFM33

ARTIKEL BERKAITAN: Tercalon FFM33 bukti Elizabeth Tan serius berlakon, hadiah bermakna sepanjang bergelar anak seni

Meskipun ada yang cuba mendekati, namun Aniq berkata dia memilih untuk tidak memikirkan mengenai perhubungan serius itu.

"Ada yang cuba nak dekat tapi rasanya saya tiada masa untuk bercinta. Saya baru sahaja dua tahun membina nama dalam industri dan tahu agak terlambat. Sebab itu saya mahu fokus pada kerja sahaa.

"Saya bimbang jika bercinta nanti akan menjejaskan tumpuan pada kerjaya," ujarnya.

Kita pun tahu untuk bina keluarga perlukan perbelanjaan besar

ANIQ DURAR

PELAKON

Bercakap mengenai lakonan, Aniq meluahkan rasa gembira apabila hasil kerjanya mendapat perhatian sehingga tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan sempena Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).

Tidak meletakkan sebarang harapan, namun bagi Aniq kerja keras dalam filem Pagari Bulan itu membuktikan dia komited terhadap dunia seni.

"Memang tak sangka tercalon dan semestinya saya gembira kerana ini adalah penilaian juri. Saya tak letak harapan untuk menang dan semuanya terserah kepada rezeki," jelasnya.

aniq 3

Aniq tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan FFM33.

Selain Aniq turut tersenarai dalam kategori sama adalah Safwan Nazri (Malbat: Misi Bakara), Tan Kim Wang (Abang Adik), Yusuf bahrin (The Lord Musang King) dan Danish Zamri (Memoir Seorang Guru).

Malam kemuncak Anugerah FFM33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur pada Sabtu ini, pukul 8.30 malam.

FFM33 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan YouTube Finas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain