suria

Pertama kali tercalon FFM33, Safwan Nazri anggap hikmah ujian isteri gugur semasa penggambaran

Safwan tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan FFM33.

UJIAN isteri keguguran ketika sedang menjalani penggambaran filem Malbatt: Misi Bakara memberi hikmah kepada pelakon Safwan Nazri apabila dia tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).

Kata Safwan atau Muhammad Safwan Muhammad Nazri, 30, dia tidak menyangka keperitan dilalui ketika itu memberikan kemanisan apabila menerima pencalonan dalam anugerah berprestij itu.

"Saya terharu mengenangkan pengorbanan terbesar sewaktu menjalani pengambaran filem ini.

wan2 - 1

Safwan terharu dengan pencalonan yang diterima dalam FFM33.

"Saya melalui dugaan besar apabila isteri saya keguguran sewaktu saya berada di Turki.

"Alhamdulillah dengan pencalonan ini merupakan satu ganjaran untuk saya, tak kisahlah menang atau kalah, tercalon sebagai lima terbaik sudah buat saya rasa bangga," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Safwan memberitahu dia turut terkejut dengan pencalonan berkenaan kerana ia merupakan filem pertama lakonannya sepanjang bergelar aktor.

ARTIKEL BERKAITAN: Safwan Nazri bakal timang cahaya mata kedua, isteri hamil 7 bulan cuma mengidam putu mayam

ARTIKEL BERKAITAN: Safwan Nazri sedih anak masuk NICU akibat jangkitan kuman, bimbang emosi isteri sedang berpantang

Malah, dia begitu teruja dengan pengiktirafan yang diberi kerana sebelum ini tidak pernah tercalon dalam mana-mana anugerah di Malaysia.

"Saat pertama mendapat tahu saya dicalonkan, sudah tentu saya terkejut kerana sebelum ini saya tidak pernah tercalon dalam mana-mana anugerah.

Saya melalui dugaan besar apabila isteri saya keguguran sewaktu saya berada di Turki.

SAFWAN NAZRI

PELAKON

"Pencalonan di FFM ini merupakan satu pencapaian terbesar saya dalam bidang lakonan.

"Saya sangat terkejut kerana ini merupakan filem pertama saya dan sebelum ini pun saya tidaklah banyak berlakon drama," ujarnya.

Ditanya harapannya untuk FFM33 kali ini, Safwan memberitahu dia berharap dengan pencalonan tersebut dapat membuka lebih banyak peluang untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan.

wan1 - 1

Malbatt: Misi Bakara merupakan filem pertama lakonan Safwan.

"Harapan saya apabila tercalon FFM ini, peluang untuk saya serius dalam bidang lakonan semakin cerah.

"Saya harap lebih ramai penerbit dan pengarah dapat melihat bakat dan sekali gus membuka peluang untuk saya berlakon lebih banyak filem dan drama selepas ini," katanya.

Untuk info, Safwan turut bersaing dengan empat pelakon lain termasuk Aniq Durar (Pagari Bulan), Tan Kim Wang (Abang Adik), Yusuf Bahrin (The Lord Musang King) dan Danish Zamri (Memoir Seorang Guru) bagi merebut gelaran Pelakon Lelaki Harapan di FFM33.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain