PELAKON dan penyanyi Elizabeth Tan mendedahkan mengalami keguguran buat kali kedua beberapa bulan lalu. Elizabeth atau Tan Su Mei, 30, berkata, dia mengalami keguguran ketika kandungannya memasuki usia tujuh minggu. Bagaimanapun dia dan suami iaitu Dr Siew Jim reda belum ada rezeki menimang cahaya mata. "Tahun ini agak sukar untuk saya sebab saya mengalami keguguran dua kali. Keguguran kedua ini berlaku beberapa bulan lalu ketika saya hamil tujuh minggu. Elizabeth bersama trofi kemenangannya. "Bukan isu kesakitan yang ditanggung tetapi harapan untuk menimang cahaya mata apatah lagi saya dan suami teruja mendapat zuriat tetapi sekali lagi tiada rezeki," katanya kepada mStar. Elizabeth berkongsi perkara itu ketika ditemui di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media di Angkasapuri Kuala Lumpur pada malam Ahad. Dalam pada itu, Elizabeth berkata, dia berasa lega apabila doktor memaklumkan dia dan suami tiada mempunyai sebarang masalah mendapatkan zuriat sebaliknya keguguran dialami disebabkan bukan rezeki. ARTIKEL BERKAITAN: Sakan artis berfesyen di karpet merah FFM33, gaya Liyana Jasmay inspirasi Zendaya! ARTIKEL BERKAITAN: ‘Imaginur’ Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 Pelakon itu juga memberitahu selepas ini sekiranya dia hamil lagi, dia merancang untuk memperlahankan karier seni bagi memberi fokus kepada kandungan. "Mungkin saya akan memperlahankan kerjaya seni kerana badan saya tidak senang 'lekat' dengan kandungan tersebut. "Saya akan jaga sebaiknya dan tidak terlalu aktif," katanya. Sebelum ini, Elizabeth mendedahkan dia mengalami keguguran ketika usia kandungan dianggar antara enam sehingga tujuh minggu pada Februari lalu. Elizabeth bergambar kenangan dengan Susan Lankenster yang memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik. Untuk rekod, Elizabeth mendirikan rumah tangga bersama Dr Siew Jim pada 21 Mac 2021. Dalam perkembangan lain, Elizabeth meluahkan rasa gembira apabila penampilannya sebagai pelakon mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di FFM33 menerusi filem Sheriff. Katanya, kemenangan itu sedikit sebanyak mengubat rasa sedih akibat keguguran dan bersemangat untuk melakukan lebih baik selepas ini dalam kariernya. "Saya terkejut dan bersyukur atas kemenangan ini. Saya jangkakan orang lain yang menang sebab kalau lihat pada lakonan saya, masih banyak yang perlu diperbaiki," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!