suria

A. Galak cerita permulaan karier di Studio Jalan Ampas, rupanya pernah bekerja sebagai pembantu jurusolek

A. Galak bersama Datuk AC Mizal (kiri) selaku rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya.

DI SEBALIK wajah serius dimilikinya, siapa sangka A. Galak pernah bekerja sebagai pembantu jurusolek di Studio Jalan Ampas di Singapura sebelum bergelar pelakon.

A. Galak atau Zakaria Ahmad, 82, berkata, penglibatannya dalam bidang itu berlaku secara tidak sengaja apabila dia ditawarkan pekerjaan tersebut selepas memohon kerja di studio berkenaan sejurus selepas tamat persekolahan.

Walaupun tugas itu tidak kena dengan jiwanya namun A. Galak tetap mencuba apatah lagi dia hanya diberikan tugas menata rias wajah pelakon lelaki.

A. Galak terharu menerima pengiktirafan selepas 60 tahun bergelumang dalam bidang seni.

A. Galak terharu menerima pengiktirafan selepas 60 tahun bergelumang dalam bidang seni.

“Saya memang tak pandai menyolek wajah orang tetapi saya cuba sebab hanya perlu menata rias wajah pelakon lelaki.

“Saya banyak belajar dengan ketua jurusolek dan daripada situ saya mempelajari pelbagai teknik solekan.

“Tapi sejujurnya pekerjaan itu bukan jiwa saya,” katanya kepada mStar.

A. Galak berkongsi cerita tersebut ketika ditemui di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media di Angkasapuri Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Abang Adik’ wakil filem Malaysia ke Anugerah Oscar ke-97

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Imaginur’ Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33

Bagaimanapun kata A. Galak kerana pekerjaan itu juga dia memberanikan diri mencuba nasib sebagai pelakon tambahan dalam salah sebuah filem terbitan Shaw Brothers pada 1959 iaitu Nujum Pak Belalang.

Kata A. Galak, ketika itu dia baru berusia 19 tahun dan gembira apabila menerima bayaran sebanyak S$4.50 sehari.

"Waktu itu nilai S$4.50 itu besar walaupun 50 sen perlu diserahkan kepada pihak pengurusan. Nasi lemak pun baru 10 sen.

"Dengan bayaran itu, macam-macam juga boleh saya beli tetapi pekerjaan sebagai pelakon tambahan mula mengubah dan membentuk karier saya seperti mana hari ini" katanya.

Ini anugerah pertama selepas 60 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan bermula dari Jalan Ampas, Singapura.

A. GALAK

PELAKON

A. Galak turut meluahkan rasa terharu apabila diberi pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada FFM33.

Kata A. Galak, itu adalah trofi pertamanya selepas 60 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.

“Ini anugerah pertama selepas 60 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan bermula dari Jalan Ampas, Singapura.

"Saya mula bekerja di sana ketika usia 19 tahun sehinggalah ia ditutup pada 1967.

A. Galak bersama Datuk AC Mizal (kiri) selaku rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya.

A. Galak bersama Datuk AC Mizal (kiri) selaku rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya.

"Kemudian saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan berlakon dengan syarikat produksi Skop Productions selama 40 tahun," katanya.

A. Galak turut terhutang budi dengan pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam kerana meletakkan kepercayaan terhadap bakat lakonan dimiliki.

Kemenangan tersebut melayakkan A. Galak untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta sebuah trofi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain