DUNIA hiburan pastinya tidak lengkap tanpa berita perkahwinan selebriti tempatan. Tahun 2024 juga menyaksikan ramai dalam kalangan selebriti tempatan menamatkan zaman solo mereka dengan pilihan hati masing-masing. Bagaimanapun, kahwin tanpa pengetahuan umum semakin menjadi trend dalam kalangan selebriti malah ada di antara mereka cukup bijak menyembunyikan kisah cinta mereka. Tahun ini juga menyaksikan beberapa artis yang pernah gagal dalam perkahwinan kembali bertemu jodoh. Antara perkahwinan yang mencuri tumpuan pada tahun ini termasuklah Ina Naim dan Mohd Khairul Rizal, Jeslina Hashim dan Tunku Eddy Nasruan, Redza Rosli dan Bella Hanna, serta Sarah Suhairi dan Aswad Anuar. Sorotan mStar 2024 menghimpunkan selebriti yang melangsungkan perkahwinan pada tahun ini. Shakilla berkahwin dalam majlis tertutup. 1. Shakilla Khoriri & Mohd Fariz Selepas melalui pelbagai cabaran menjadi ibu tunggal untuk lebih dua tahun, pelakon Shakilla Khoriri menamatkan zaman janda dengan mengumumkan pernikahannya dengan lelaki bernama Mohd Fariz pada 24 Februari 2024 dalam majlis tertutup. Untuk rekod, Shakilla atau Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 39, pernah mendirikan rumah tangga dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 namun bercerai pada Disember 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun. Fadhli dan Suraya berkenalan selama dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga. 2. Fadhli Masoot & Suraya Pelakon Fadhli Masoot selamat disatukan dengan wanita pujaan hatinya iaitu Suraya pada 2 Mac 2024. Fadhli, 28, dan Suraya mula berhubung menerui media sosial sekitar dua tabun lalu sebelum memutuskan untuk bertunang pada Disember tahun lalu. Redza dan Hanna terus bernikah tanpa ada majlis tunang. 3. Redza Rosli & Bella Hanna Bijak menyimpan rahsia, pelakon Redza Rosli melangsungkan perkahwinan dengan pengacara Bella Hanna dengan sekali lafaz pada 21 Jun 2024. Tiada majlis pertunangan sebaliknya Redza atau Ahmad Redza Rosli, 32, dan Bella memilih untuk terus berkahwin selepas mendapat restu kedua-dua keluarga mereka. Ben tidak kisah bergelar suami pada usia muda. 4. Ben Ladin & Ana Shida Memilih untuk berkahwin pada usia muda, Ben Ladin atau Muhammad Benladen Munshi Shaihan, 23, selamat diijabkabulkan dengan Ana Shida pada Julai tahun ini. Perkahwinan pasangan ini berlangsung di Sarawak yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan diadakan dengan penuh privasi. Sarah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ibu 'segera' untuk tiga anak perempuan. 5. Sarah Suhairi & Aswad Anuar Bibit cinta penyanyi Sarah Suhairi dengan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Aswad Anuar bermula apabila bertemu di Pusat Ekuisterian Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada tahun 2020. Hubungan rapat pasangan ini berakhir dengan perkahwinan pada 26 Julai lalu selepas empat tahun mereka berkenalan. Malah Sarah, 24, tidak kisah bergelar ibu 'segera' kerana Aswad mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan sebelum ini. Jeslina dan Eddy selamat bernikah selepas lapan tahun bercinta. 6. Jeslina Hashim & Tunku Eddy Nasruan Selepas lapan tahun menyulam cinta, akhirnya penyanyi dan pelakon Jeslina Hashim bergelar isteri kepada kerabat Diraja Negeri Sembilannya iaitu Tunku Eddy Nasruan pada 10 Ogos 2024. Perkahwinan pasangan ini dilakukan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan sahabat handai. Untuk rekod, Jeslina, 46, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun bercerai pada Mac 2013. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Micah, 16, dan Keira, 14 tahun. Untuk info, Tunku Eddy merupakan cucunda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tuanku Ja'afar dan Tunku Ampuan Najihah. Jue mahu dikurniakan cahaya mata secepat mungkin. 7. Jue Aziz & Ridwan Selepas lima tahun bercerai, Jue Aziz mengejutkan peminat selepas mendedahkan dirinya sudah kembali bertemu jodoh dengan jejaka pilihan pada 18 Ogos 2024. Sedar usia semakin meningkat Jue atau Zuliana Abdul Aziz, 41, memasang impian untuk mendapatkan cahaya mata dengan kadar segera. Jelas aktres itu, dia mahu berikan cucu cepat buat ibunya tambahan pula kesihatan orang tuanya itu kurang baik. Dewa sifatkan isteri sebagai orang yang sangat memahaminya. 8. Dewa Arteh & Nur Atiqah Pelawak Dewa Arteh selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya iaitu Nur Atiqah Aishah Jefri pada 24 Ogos 2024. Enam bulan mengenali hati budi isteri sebelum berkahwin, Dewa atau Mohd Hafizul Mohd Yusof, 28, memberitahu sifat keperibadian Nur Atiqah yang memahami selain penyayang berjaya menambat hatinya untuk bernikah. Ina kembali bergelar isteri selepas setahun bergelar ibu tunggal. 9. Ina Naim & Khairul Rizal Penyanyi Ina Naim membuat kejutan apabila kembali bergelar isteri selepas setahun bergelar ibu tunggal kepada lelaki pilihan hatinya iaitu Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor. Pasangan itu berkahwin pada 8 November 2024 dalam acara yang dilangsungkan secara sederhana di kampung halaman Ina atau Nordiana Mohd Naim, 40, di Felcra Sg Ara, Kota Tinggi, Johor. Untuk rekod, Ina pernah bernikah dengan bekas kumpulan Inteam iaitu Suhaimi Saad pada 12 Oktober 2007 jodoh mereka tidak panjang selepas penyanyi itu meninggal dunia pada 15 November 2023. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Salman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. Shuk dan Fara berkahwin pada November tahun lalu. 10. Shuk Sahar & Fara Salleh Dalam diam rupanya pelawak Shuk Sahar sudah kembali bergelar suami kepada Fara Salleh pada November tahun lalu. Bagaimanapun perkara itu hanya didedahkan Fara selepas empat bulan menjadi isteri kepada Shuk iaitu pada 9 Mac lalu. Sebelum ini nama Fara pernah menjadi bualan hangat netizen apabila dia didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Shuk atau Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, bersama bekas isteri, Rossa Sera. Untuk rekod, Shuk mendirikan rumah tangga dengan Sera pada 2015 namun bercerai pada 22 Mac 2023. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun. Bunga berkahwin selepas tamat pengajian. 9. Bunga Isme & Amzar Sabri Setelah beberapa bulan berteka-teki, akhirnya penyanyi Bunga Isme mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Razqa iaitu Amzar Sabri pada tahun lalu. Lama mendiamkan diri tentang status hubungan itu, jelas Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 24, dia hanya boleh beritahu mereka sah bergelar suami dan isteri selepas dia selesai belajar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!