SEJAK kebelakangan ini kes berkaitan dadah melibatkan pelawak menjadi topik hangat netizen di media sosial. Menyedari isu panas itu, pelawak Atu Zero mengakui kejadian itu sedikit sebanyak menjejaskan profesion berkenaan di mata khalayak. Pernah bergaul dengan penagih dadah ketika di usia muda, Atu atau Sharif Kunal Doli Sharif, 33, bagaimanapun enggan terjebak dengan perbuatan berkenaan kerana menyedari dirinya sebagai seorang selebriti yang menjadi contoh masyarakat. Atu nasihat supaya jauhi najis dadah. "Sedikit sebanyak imej pelawak itu terjejas sebab kita berada di landasan yang sama. "Zaman kegelapan saya di kampung, perkara yang lepas biarkan berlalu. Bila sudah berada di tempat orang sekarang kena pandai bawa diri. "Saya bukanlah orang baik tapi kita cuba buat baik supaya jadi contoh buat mereka di luar sana kerana ramai yang memerhati," katanya kepada mStar. Atu berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi tayangan previu sitkom Apartmen Putra di Wisma TV, Kuala Lumpur pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Along Cham mengaku tak bersalah miliki ganja, tidak dibenarkan ikat jamin ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak miliki ganja dipenjara 6 bulan di Arab Saudi Dalam pada itu, Atu turut menasihati orang ramai agar menjauhi najis dadah kerana melihat kepada kesan kesihatan terhadap pengambilan bahan terlarang itu. Tambah Atu, bahan terlarang itu juga hanya memberikan nikmat sementara berbanding kesan negatif berpanjangan. "Janganlah terjebak dengan perkara sebegitu. Hujung-hujung kawan saya yang masih lakukan perkara negatif itu tak tahu ke mana dan ada yang sudah tidak waras. "Kalau balik kampung saya jumpa mereka saya akan nasihat tinggalkan benda (dadah) ni, maaf cakap benda ni sedap sekejap sahaja cuma penderitaan panjang," jelasnya. Atu antara pelakon menjayakan sitkom Apartmen Putra. Dalam perkembangan lain, Atu merupakan antara pelakon dalam sitkom Apartmen Putra bagi musim keenam dan ketujuh. Selain Atu, sitkom itu turut dibarisi pelakon seperti Mamak Puteh, Jiggy Masin, Elly Ariffin, Dewa Sapri, Zulin Aziz, Noorkhiriah, Eric Fuzi dan Kenchana Devi. Program itu akan bersiaran setiap hari Rabu pukul 9 malam menerusi TV2 bermula 8 Januari depan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!