BERITA pemandu lori di Sarawak didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak kerana menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap Baby Shima disambut baik oleh penyanyi itu. Berharap masyarakat mengambil iktibar atas apa yang berlaku, Shima atau Nor Ashima Ramli, 33, meminta netizen lebih bertanggungjawab dan tidak sewenangnya menulis komen yang boleh mengundang kepada perbuatan jenayah. "Tak suka saya tidak mengapa, tapi jaga jari sebab apa yang anda (netizen) taip boleh membawa padah. Shima tidak kisah jika ada individu kurang senang dengannya. "Apa yang anda tulis segala hinaan, makian dan fitnah semuanya ada akta. Negara kita ada undang-undang. "Jangan taksub, jangan percaya kepada fitnah dan jadi batu api. Semoga jadi pengajaran kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat. Dalam pada itu, Shima turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Sibu kerana bertindak pantas menyelesaikan kes ugutan bunuh berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Padah tulis komen ugut bunuh Baby Shima, lelaki Sarawak kena denda RM4,000 ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda autistik miliki PhD mengaku termuntah lihat Baby Shima bergelek "Saya hormati keputusan mahkamah dan berterima kasih kepada polis di Sibu kerana cepat mengambil tindakan dalam menjaga keselamatan saya. Pada 31 Disember lalu, Shima membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterima melalui akaun pengguna Facebook (FB) yang dipercayai berasal dari Sarawak. Menerusi komen tersebut, pengguna akaun itu memberi amaran kepada Shima untuk berhati-hati di negeri berkenaan sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat. Pada Jumaat, Mahkamah Majistret Sibu menetapkan hukuman denda sebanyak RM4,000 selepas tertuduh iaitu Mel Maxpherson Munded, 35, mengaku bersalah dihadapan Majistret Oon Kork Chern. Kork Chern turut menetapkan hukuman dua bulan penjara sekiranya individu berkenaan gagal membayar denda berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!