PERSEMBAHAN penuh emosi anak perempuan pelawak Shuib di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada malam Jumaat terpaksa dihentikan seketika selepas kanak-kanak itu gagal mengawal emosinya. Talita atau Dzahira Talita Zahra, 12, dilihat mengalirkan air mata ketika menyanyikan lagu ibunya iaitu Allahyarham Siti Sarah Raisuddin berjudul Kesetiaan di hadapan 5,000 penonton. Shuib juga dilihat menenangkan Talita sebelum penyanyi remaja Umai tampil membantu menyelesaikan persembahan sebelum kanak-kanak itu kembali tenang. Talita terpaksa ditenangkan oleh Shuib dan Umai. "Ketika saya menyanyikan lagu Kesetiaan, saya teringat pada ibu dan rasa seperti dia ada di situ. "Dengan orang ramai, saya bertambah sebak. Ayah kata tak mengapa, ibu sedang tengok," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu. Dalam pada itu, Talita terharu dengan sokongan ramai terhadapnya memandangkan masih baharu dalam bidang nyanyian. ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan Shuib mahu jadi penyanyi, beritahu Watie nak masuk kelas vokal ARTIKEL BERKAITAN: Shuib jelaskan punca tangan kanan anak bongsu kurang berfungsi, kesan lahir tak cukup bulan Perasaan teruja dan sokongan ramai ketika itu membuatkan dia ingin bergelar penyanyi hebat sama seperti arwah ibunya. "Saya pun tak sangka orang seramai itu akan datang beri sokongan... Saya pun baru sahaja nak mulakan kerjaya sebagai penyanyi. "Walaupun ada perasaaan sedih tapi saya betul-betul gembira dan seronok apabila ramai memberi sokongan," ujarnya. Sementara itu, Shuib turut meluahkan rasa kagum dengan keberanian Talita melakukan persembahan di hadapan 5,000 penonton di Bukit Bintang. Saya pun terkejut lihat penonton yang ramai sehingga jalan sesak. SHUIB PELAWAK Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, menyifatkan persembahan tersebut seakan-akan dejavu kepada arwah isterinya suatu ketika dahulu. "Ia seakan dejavu kerana ibu dia penyanyi sebenar dan anaknya pula bersungguh-sungguh mengikuti jejak langkah ibunya. "Saya pesan pada dia untuk nyanyi buat arwah dan anggap ibu ada di depan matanya. "Jadi Talita buat apa dia boleh, sebagai penyanyi baharu dia berjaya mengatasi masalah teknikal dengan baik," ujarnya. Ahli keluarga sokong sepenuhnya cita-cita Talita yang mahu menjadi penyanyi. Kata Shuib, dia juga terharu melihat sokongan orang ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin melihat persembahan anaknya. "Saya paling tak sangka ada datang dari Kelantan, Sarawak, Perak dan Singapura semata-mata ingin melihat persembahan anak saya. "Saya pun terkejut lihat penonton yang ramai sehingga jalan sesak," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!