SUDAH dua kali rumahnya dimasuki ular, penyanyi Ayu Damit tidak menolak kehadiran binatang berbisa itu membawa satu petanda tidak baik.
Ini terbukti apabila motosikal kepunyaan suami yang digunakan di kebun hilang sehari selepas kejadian ular memasuki kediaman mereka di Cheras, Selangor pada petang Isnin.
"Mengikut adat keluarga kami, bila ular masuk ke dalam rumah ini seperti satu bala. Satu perkara yang tidak elok.
Ayu mendedahkan rumahnya dimasuki seekor ular pada Isnin.
"Rupa-rupanya pukul 8 pagi Selasa, pekerja kebun suami memaklumkan motosikal milik perusahaan kami hilang.
"Waktu itu saya dan suami mula berfikir tentang insiden ular masuk rumah semalam mungkin satu petanda tidak baik," katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Ayu atau Norayu Damit, 34, memberitahu dia dan suami iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin kini lebih berwaspada ketika di rumah kerana ular tersebut masih gagal ditangkap.
ARTIKEL BERKAITAN: Ayu Damit nasihat peserta OIAM siap sedia mental hadap netizen, kena jaga penampilan jangan selekeh
ARTIKEL BERKAITAN: Ayu Damit buat persembahan selepas 3 hari bersalin, suami larang tapi mahu lunas janji
Kata Ayu, apa yang membuatkan dia lebih risau memikirkan keadaan bayinya yang masih kecil.
"Sekarang ini setiap pergerakan kami di rumah sangat berhati-hati. Nak keluar bilik pandang kiri dan kanan. Nak duduk pun akan pandang sekeliling terlebih dahulu.
"Disebabkan kami tidak dapat menangkap ular tersebut membuatkan kami sekeluarga rasa tidak selamat.
Mengikut adat keluarga kami, bila ular masuk ke dalam rumah ini seperti satu bala.
AYU DAMIT
PENYANYI
"Paling saya risau sebab ada anak-anak, lebih-lebih lagi bayi yang masih kecil. Saya tak habis fikir sebab tak nampak ular itu ditangkap depan mata sendiri," ujarnya.
Sebelum ini, Ayu memuat naik hantaran di Instagram miliknya memaklumkan seekor ular telah memasuki kediamannya untuk kali kedua.
Kongsi Ayu, dia sudah menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) namun ular tersebut tidak berjaya dikesan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!